KLCI terus melonjak, 520 kaunter untung termasuk Genetec, Aeon Credit, F&N, Genting | DagangNews Skip to main content

KLCI terus melonjak, 520 kaunter untung termasuk Genetec, Aeon Credit, F&N, Genting

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pasaran saham tempatan menyambung lonjakan pada pagi ini, apabila indeks utama, FBM KLCI ditutup 6.93 mata lebih tinggi kepada paras 1,496.73. 

 

Ini terutamanya dipacu oleh saham-saham dalam sektor pengangkutan, produk pengguna, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi, menurut MarketBiz. 

 

Prestasi positif yang ditonjolkan oleh FBM KLCI turut dicerminkan menerusi jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 520 yang mengatasi jumlah kaunter rugi, 449. 

 

Sementara, 459 kaunter lagi tidak berubah, dan 767 tidak didagangkan.

 

Kelonggaran aktiviti ekonomi yang diberikan kepada individu lengkap dua dos vaksin masih menjadi pemangkin kepada pasaran ekuiti tempatan dan dalam masa sama, ini adalah seiring peningkatan positif oleh pasaran saham China.

 

Dalam kalangan kaunter untung, saham Genetec Technology Berhad menyaksikan lonjakan harga saham terbesar pada penutupan petang ini sebanyak 78 sen kepada RM25.40. 

 

Ini turut dirasai oleh saham Heineken Malaysia Berhad dan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad di mana masing-masing berakhir 60 sen dan 44 sen lebih tinggi. 

 

Baca : KLCI bermula positif, saham DNeX, AVI, HIAPTEK, AirAsia paling rancak diniagakan

 

Seiring pengumuman kelonggaran aktiviti pergerakan dan pelancongan, Genting Berhad berjaya menarik aliran masuk sehingga ditutup 18 sen lebih tinggi kepada RM4.73.

 

Pada awal dagangan pagi ini, saham Genting meningkat 16 sen, manakala saham Genting Malaysia Berhad menokok 10 sen setakat 10.34 pagi, memandangkan terdapat sentimen positif dalam kalangan pelabur terhadap perniagaan kasino dan hotel.

 

Turut menerima tempias positif itu adalah saham Fraser & Neave Holdings Berhad, Aeon Credit Service (M) Berhad dan Greatech Technology Berhad.

 

Saham Malaysian Pacific Industries Berhad sebaliknya berada di kedudukan tercorot apabila menyusut 70 sen kepada RM44.70 pada penutupan petang ini. 

 

Ini diikuti oleh KESM Industries Berhad, D & O Green Technologies Berhad, Pecca Group Berhad, Petronas Dagangan Berhad dan Kobay Technology Berhad.

 

Saham Dagang Nexchange Berhad pula masih menjadi tumpuan pelabur, bagaimanapun, berakhir 1 sen lebih rendah kepada 81.5 sen. 

 

Turut rancak diniagakan adalah saham Avillion Berhad, Saudee Group Berhad, Kejuruteraan Asastera Berhad dan Ta Win Holdings Berhad. - DagangNews.com