KLIA catat 149 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke 20 negara | DagangNews Skip to main content

KLIA catat 149 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke 20 negara

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Perjalanan udara Malaysia mula menunjukkan perkembangan positif apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kira-kira 149 penerbangan antarabangsa pada setiap minggu ke 30 destinasi di 20 negara. 

Operasi berkenaan melibatkan penghantaran pulang penumpang ke negara masing-masing termasuk transit penerbangan di KLIA.

Dalam pada itu, kapasiti kargo yang ditawarkan syarikat penerbangan turut meningkat sekali gus meningkatkan penerbangan pesawat.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melihat lonjakan tinggi dalam pergerakan trafik penumpang dan pesawat pada Julai 2020 dengan jumlah keseluruhan penumpang meningkat tiga kali ganda berbanding bulan sebelumnya kepada 1.3 juta dan penerbangan pesawat (22,600).

Lonjakan itu didorong oleh perjalanan udara domestik oleh rakyat tempatan sejak kerajaan menggalakkan pelancongan dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, kadar pemulihan positif itu meningkatkan keyakinan pihaknya bahawa industri perjalanan udara kian kembali normal. 

“Selain operasi penerbangan dari KLIA ketika ini, lebih daripada 30 penerbangan antarabangsa menunjukkan mereka akan kembali beroperasi setelah sempadan negara sepenuhnya dibuka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

“Malah, Turkish Airlines (TK) baru-baru ini kembali beroperasi di KLIA pada 18 Julai lalu dengan pesawat baharu,  B787-9 Dreamliner,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain TK, Starlux Airlines (JX) dan Scoot (TR) juga mula beroperasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, manakala operasi MAHB Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) menyaksikan peningkatan jumlah penumpang dan penerbangan, masing-masing kepada 1.2 juta dan 9,300. 

Empat syarikat penerbangan asing juga mula beroperasi di SAW dari Maghribi, Doha, Rusia dan Kuwait sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penumpang di rangkaian MAHB melebihi 2 juta.

"Pengumuman baru-baru ini mengenai pemulihan penuh landasan ketiga menunjukkan komitmen kami yang tidak akan berkompromi berhubung isu keselamatan. Walaupun tindakan pencegahan kos adalah tinggi, kami akan terus melabur untuk meningkatkan keselamatan penumpang. 

“Langkah keselamatan terbaharu kami di lapangan terbang adalah pemasangan pensteril selusur UV di eskalator dan jalan gerak (walkalator) yang diharapkan dapat menghilangkan 99.9% mikro-organisme yang tidak diingini dari selusur,” tambah beliau. - DagangNews.com