KLIA, Langkawi muncul lapangan terbang nombor 1 dunia pada Q2 | DagangNews Skip to main content

KLIA, Langkawi muncul lapangan terbang nombor 1 dunia pada Q2

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) muncul lapangan terbang antarabangsa nombor satu dunia bagi suku kedua 2021.

 

Ini berdasarkan kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang Global (ASQ) yang dijalankan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI). 

 

Kedua-dua lapangan terbang itu mencapai skor penuh 5.0/5.0 dalam kali selidik industri yang menjadi penanda aras bagi lapangan terbaik dunia dari segi standard kemudahan dan perkhidmatan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd. Shukre Mohd. Salleh berkata, pencapaian membanggakan bagi KLIA ini membuktikan usaha berterusan syarikat untuk mengekalkan perkhidmatan terbaik dan menerapkan langkah-langkah keselamatan sementara menanti aktiviti perjalanan kembali semula.

 

"Inisiatif utama yang menyumbang kepada prestasi itu termasuklah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan meningkatkan pengalaman perjalanan yang selamat dan pembukaan 64 bilik air yang baru dinaiktaraf untuk keselesaan penumpang.

 

"Bagi LGK pula, terminal yang diberi nafas baharu membuahkan hasil daripada kejayaan inisiatif komersial berterusan yang menyumbang kepada kepuasan hati penumpang yang melalui terminal ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada suku pertama, KLIA berada pada kedudukan kesembilan dengan skor 4.99/50 bagi kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) manakala LGK di tempat ketiga dengan skor 4.97/5.0 dalam kategori 2 hingga 5 mppa. 

 

MAHB menyaksikan peningkatan secara beransur-ansur dalam jumlah penumpang dengan mencatat kenaikan 35% berbanding bulan sebelumnya bagi pertumbuhan trafik secara keseluruhan pada Julai 2021.

 

Pada bulan lalu, pengendali lapangan terbang ini melepasi paras 3 juta penumpang dengan jumlah penumpang sebanyak 3.3 juta melibatkan keseluruhan rangkaiannya buat kali pertama tahun ini dengan majoriti trafik disumbangkan menerusi Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG). - DagangNews.com