KUALA LUMPUR 18 Julai - Bersempena sambutan ke-84 dalam perniagaan, Kluang Rail Coffee hari ini secara rasminya diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kopitiam tertua di Malaysia.
Pengiktirafan itu dibuat secara rasmi menerusi dalam satu majlis yang diadakan di cawangan pertama di Stesen Kereta Api Kluang yang dibuka pada 1938, di Kluang Johor.
Kluang Rail Coffee merupakan perniagaan keluarga yang diasaskan oleh Lim Luan Hee pada 1938 dengan hanya beberkalkan gula serta beberapa tin susu dan ia bermula sebagai kantin kepada masyarakat setempat serta kakitangan kerajaan yang berkhidmat di daerah itu pada zaman awal Perang Dunia Kedua.
Stesen Kereta Api Kluang dibina pada 1909 berhampiran dengan balai polis, pejabat pos, pejabat telekomunikasi, hospital dan pejabat kerajaan menjadikannya sangat mudah dikunjungi serta popular kerana ia menyediakan sarapan pagi kepada semua seawal pukul 6.30 pagi.
Cucu kepada pengasas jenama itu, Lim Jit Chen berkata, evolusi makanan Hainan sangat dipengaruhi oleh rasa Inggeris dan Asia.
"Sebagai contoh, orang Inggeris bersarapan roti bakar dengan jem tetapi ia menjadi sangat mahal semasa Perang Dunia Kedua dan membuatkan ia berubah kepada roti bakar yang dimakan bersama mentega dan kaya bersama telur setengah masak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jit Chen berkata, Kluang Rail Coffee cukup terkenal dengan kopi Hainan yang dibuat menggunakan biji kopi Liberica yang ditanam secara tempatan dan roti bakar yang dihidangkan bersama mentega dan kaya.
Beliau berkata, kopitiam merupakan simbol kesatuan budaya yang memenuhi keperluan rakyat di negara ini dan pada masa sama, mereka tidak pernah mengabaikan komitmen mereka dalam menyediakan makanan berkualiti pada harga yang berpatutan.
"Nasi lemak bungkus yang disediakan di kopitiam ini dibuat oleh masyarakat tempatan dan kopitiam ini disahkan halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).
"Perniagaan ini akan terus berkembang mengikut peredaran masa tetapi warisannya akan terus dikekalkan bagi mencerminka perkhidmatan kami kepada masyarakat," katanya. - DagangNews.com