KUALA LUMPUR 13 Mei – KMI Tawau Medical Centre, sebuah daripada rangkaian hospital milik Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare), secara rasminya melancarkan perkhidmatan ortopedik pada 11 Mei 2024.
Antara rawatan yang ditawarkan oleh perkhidmatan Ortopedik KMI Tawau adalah prosedur invasif minimal, pembedahan sukan, pembedahan tulang belakang, artroplasti, pembetulan kecacatan anggota badan, masalah tangan, kaki, dan buku lali, penjagaan luka, ubat regeneratif, pengurusan trauma dan patah tulang serta pengurusan kesakitan.
Bagi menyokong perkhidmatan Ortopedik di KMI Tawau, sistem pengimejan C-arm telah diperoleh bagi membantu dalam pengendalian rawatan yang lebih cekap dan berkesan.
Peranti C-arm ini menyediakan pengimejan masa nyata dan mengurangkan pendedahan radiasi bagi membantu pesakit pulih dengan lebih cepat serta rawatan yang dilakukan adalah lebih tepat.
Bagi menjamin keselamatan pesakit dan kakitangan perubatan, model ini mempunyai penjana frekuensi harmonik (Harmonic Frequency Generator atau HFG) yang berkuasa dan tiub pusingan dengan pendedahan sinar-X berdos rendah.
Perkhidmatan Ortopedik di hospital ini telah bermula pada Julai 2023 dan teknologi C-arm secara rasminya telah digunakan pada Disember 2023. Perolehan dari perkhidmatan Ortopedik telah meningkat sebanyak 135% pada suku keempat 2023 berbanding suku ketiga tahun yang sama.
Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin berkata, KMI Tawau komited dalam memperkembangkan perkhidmatan disiplin perubatan bagi merealisasikan reputasi penjagaan kesihatan bermutu di Tawau.
Katanya, KMI Tawau akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan profesional kepada pesakit dan selaras dengan misi syarikat iaitu menyediakan penjagaan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan.
Pada suku keempat 2026, pembangunan blok baru sebanyak enam tingkat dijangka siap di KMI Tawau dengan penempatan katil sebanyak 52 buah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu serta teknologi terkini.
Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Pengarah KMI Tawau, Anuar Ali yang menandakan hospital KMI Tawau telah berkembang terutamanya dalam pengendalian rawatan yang berkualiti bagi merealisasikan slogan syarikat iaitu “Menerajui Kehidupan Sihat”.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Hamild Awang; ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy, wakil Ikatan Dokter Indonesia (IDI) Nunukan; Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin dan Pakar Bedah Ortopedik KMI Tawau, Dr Fadzly Ramidi. - DagangNews.com