Kod Tadbir Urus Korporat tidak galak lantik ahli politik anggotai BoD | DagangNews Skip to main content

Kod Tadbir Urus Korporat tidak galak lantik ahli politik anggotai BoD

 

KUALA LUMPUR 29 April - Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2021 yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Sekuriti, tidak menggalakkan pelantikan ahli-ahli politik yang aktif ke dalam lembaga syarikat tersenarai.

 

"Ini bertujuan menggalakkan pelaksanaan pertimbangan objektif dan bebas yang selaras dengan amalan terbaik di peringkat global," menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini.

 

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, terdapat keperluan yang kukuh terhadap tadbir urus korporat dan kepemimpinan lembaga pengarah yang baik, terutamanya ketika syarikat menghadapi tempoh pemulihan pasca wabak yang berpanjangan.

 

"MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah untuk membangunkan ketahanan jangka panjang melalui pemakaian dan pelaksanaan dasar dan amalan tadbir urus korporat yang akan menyokong syarikat tersenarai untuk menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah-ubah," katanya. 

 

Menurut kenyataan itu lagi, Bursa Malaysia mahu mengehad tempoh perkhidmatan selama 12 tahun tanpa pelanjutan bagi pengarah bebas dalam Keperluan Penyenaraian pada suku keempat 2021, susulan semakan Suruhanjaya Sekuriti ke atas Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

 

"Bursa akan mendapatkan maklum balas daripada penerbit tersenarai dan pihak industri sebelum memuktamadkan garis masa pelaksanaan tersebut," ujar kenyataan tersebut.

 

wainuiomata
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar

 

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah ketika ini adalah sebanyak 25.3% bagi 100 syarikat tersenarai yang teratas, walaupun sasarannya adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% pada penghujung 2020.

 

Untuk mempercepat kemajuan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, MCCG 2021 mengesyorkan semua syarikat tersenarai mempunyai lembaga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 30% pengarah wanita.

 

Edisi 2017 MCCG telah mengesyorkan mereka mempunyai 30% pengarah wanita dalam lembaga Syarikat Besar.

 

MCCG 2021 berkuat kuasa pada 28 April 2021i, dan kumpulan pertama syarikat yang mula melaporkan pemakaian amalan ini adalah syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2021.

 

Proses pengundian dua peringkat akan diguna pakai bagi resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung yang diadakan pada atau selepas 2 Januari 2022. - DagangNews.com