Kolej UCSI, Universiti Murdoch komited lahirkan lebih ramai pakar bantu tingkatkan tahap keselamatan siber di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kolej UCSI, Universiti Murdoch komited lahirkan lebih ramai pakar bantu tingkatkan tahap keselamatan siber di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kolej UCSI dan Universiti Murdoch, Australia menjalin kerjasama untuk memenuhi permintaan keselamatan siber yang semakin meningkat.

 

Kedua-dua pihak juga memeterai memorandum perjanjian (MoA) sekali gus melancarkan Sarjana Muda Teknologi Maklumat (BIT) dalam Keselamatan Siber dan Forensik, program 3+0 yang dijalankan dengan kerjasama daripada Universiti Murdoch.

 

Usaha ini sejajar dengan peningkatan jenayah siber yang kini berada dalam keadaan membimbangkan. Anggaran kos jenayah siber global dijangka meningkat sebanyak $5.7 trilion antara 2023 dan 2028 iaitu peningkatan sebanyak 70%.

 

Di Malaysia sahaja, lebih 20,000 jenayah siber dilaporkan pada 2021, mengakibatkan kerugian lebih RM560 juta. Rakyat Malaysia juga telah mengalami kerugian RM2.23 bilion akibat jenayah siber dari 2017 hingga Julai 2021.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UCSI, Prof Madya Dr Mabel Tan Hwee Joo berkata, keperluan untuk profesional dalam bidang keselamatan siber merupakan komponen kritikal dalam menangani ancaman siber.

 

"UCSI dan Murdoch komited untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan siber di negara ini," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

 

Katanya, di samping memperoleh kemahiran teknikal, pelajar juga akan memperoleh rangkaian global dan pengalaman pertukaran budaya yang unggul melalui program ini, yang mana ia akan membantu mereka membangunkan pandangan dunia global.

 

Pro Naib Canselor (Pendidikan Transnasional) Murdoch, Prof Peter Waring pula berkata, kerjasama ini akan melahirkan golongan profesional keselamatan siber yang bukan sahaja mahir di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

 

"Selain memberi impak kepada industri, kami berharap dapat mengukuhkan hab pendidikan transnasional di Malaysia dan terus memupuk graduan berkemahiran tinggi.

 

"Dalam usaha mengembangkan pendidikan transnasional, kami mahu memastikan sesiapa yang bekerjasama dengan kami mempunyai kualiti yang tinggi, dan UCSI memenuhi kriteria itu," katanya.

 

Dekan Fakulti IT Murdoch, Prof David Parry berkata, program IT di Murdoch disediakan untuk melahirkan profesional dalam kepakaran siber yang mampu menangani cabaran dunia sebenar. - DagangNews.com