Komitmen FGV tingkatkan penyertaan wanita di peringkat pengurusan | DagangNews Skip to main content

Komitmen FGV tingkatkan penyertaan wanita di peringkat pengurusan

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - FGV Holdings Berhad akan menganjurkan mesyuarat pertama bagi Jawatankuasa Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita yang baru ditubuhkan bulan ini, sempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2021. 

 

Ini jelas menunjukkan kesungguhan FGV dalam memajukan agenda kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita untuk semua wanita di bawah tanggungjawabnya terdiri daripada pekerja di semua peringkat termasuk pekerja migran dan anggota masyarakat berkaitan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, FGV komited untuk mengintegrasikan perspektif gender bagi memenuhi tanggungjawab kumpulan dalam menghormati hak asasi manusia.

 

“Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membantu FGV dalam mempromosikan penghormatan dan sokongan penuh terhadap hak-hak wanita di tempat kerja berdasarkan kesaksamaan dan tanpa diskriminasi. 

 

"Dengan mewujudkan persekitaran yang membolehkan wanita mendapat akses yang sama bagi semua peluang, kami dapat menerapkan pendekatan responsif gender dan gender-mainstreaming dalam operasi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Walaupun FGV telah memenuhi sasaran yang disyorkan iaitu 30% wakil wanita di peringkat lembaga pengarah, jawantankuasa ini juga menyasarkan untuk merancang strategi bagi meningkatkan jumlah wanita menerajui jawatan kepimpinan di dalam syarikat. 

 

Pada masa ini, 31% wanita menduduki jawatan dalam Jawatankuasa Pengurusan Kumpulan FGV.

 

Jawatankuasa ini akan berpandukan standard dan prinsip hak asasi manusia antarabangsa termasuk Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia (UDHR), Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD). 

 

Selain itu, ia juga berdasarkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), Panduan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGPs), Panduan Gender untuk UNGP serta konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berkaitan. 

 

Penubuhan jawatankuasa ini akan berusaha untuk mempromosikan pendidikan, latihan dan pembangunan profesional petugas wanita dan memastikan semua program pembangunan keupayaan dalaman peka gender. 

 

Ini juga merupakan platform untuk melaksanakan pembangunan perusahaan, memperkenalkan rantai bekalan dan amalan pemasaran yang akan memperkasakan wanita, dan mengalakkan unit perniagaan untuk mempromosikan kesaksamaan melalui inisiatif dan perakuan masyarakat.

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia FGV, Siti Norbaya Mohammad Sarif akan bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa dan anggotanya terdiri daripada semua Ketua Bahagian FGV yang berkaitan. 

 

Wanita yang memegang jawatan kepimpinan akan menjadi jemputan tetap ke mesyuarat Jawatankuasa, di mana Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV akan berkhidmat selaku penasihat.

 

Antara agenda yang akan dibincangkan semasa mesyuarat pertama Jawatankuasa ini merangkumi penggubalan Polisi Kesaksamaan Gender FGV dan pelan tindakan Jawatankuasa.  - DagangNews.com