Komitmen Malaysia bangunkan jaringan kereta api | DagangNews Skip to main content

Komitmen Malaysia bangunkan jaringan kereta api

 

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Malaysia amat bergantung kepada jaringan kereta api dalam usaha memacu aspirasi negara pada masa depan dan memainkan peranan penting di semua negara maju.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sehubungan itu, Malaysia turut menyasarkan untuk menjadi antaran negara negara yang memiliki gabungan pengangkutan yang kukuh.

 

“Inisiatif Jalur dan Jalan oleh China, yang merangkumi Asia Tenggara, Asia Tengah dan negara-negara sehingga ke Eropah, telah menarik perhatian besar di rantau ini dan di luar.

 

“Kesalinghubungan dan kerjasama antara negara-negara ini akan menjadi langkah penting dalam aspek perdagangan, pertukaran budaya dan saintifik dalam abad baharu ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Simposium Kedua mengenai Infrastruktur dan Kejuruteraan Kereta Api secara maya anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Universiti Tunku Abdul Rahman bersama-sama Pertubuhan Industri Rel Malaysia hari ini.

 

Simposium itu menghimpunkan profesional daripada industri kereta api seperti pengendali dan penyelidik, selain ahli akademik untuk berkongsi dan menggalakkan aktiviti penyelidikan bagi menyokong usaha baharu peluasan jaringan kereta api di Malaysia serta inisiatif Jalur dan Jalan China di rantau ini.

 

Ka Siong berkata, kerajaan telah memulakan inisiatif baharu ini dan sedang memperluas jaringan kereta api ke seluruh negara.

 

Fasa pertama Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang, dari Sungai Buloh ke Semantan, memulakan operasi pada 16 Disember 2016 manakala bagi keseluruhan laluan, dari Sungai Buloh ke Kajang, pada 17 Julai 2017.

 

“Ini adalah bukti komitmen Malaysia untuk menjadi negara maju. Laluan sepanjang 51 kilometer ini melintasi 31 stesen yang memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta orang,” katanya.

 

Beliau berkata, menyedari kepentingan jaringan kereta api terutama di kawasan Greater Kuala Lumpur, kerajaan menyediakan lagi peruntukan bagi projek pembinaan Laluan MRT 2, yang sedang dibangunkan dengan jarak sepanjang 52 kilometer dan menjangkakan 529,000 orang pengguna sehari.

 

“Contoh komitmen kerajaan yang lain dalam memperluas jaringan kereta api di negara ini adalah pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 664 kilometer. 

 

"Kos pembinaan dianggarkan bernilai AS$12.5 bilion untuk menghubungkan negeri-negeri di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

 

Beliau berkata, ini berpotensi mengubah laluan perdagangan antarabangsa utama dalam proses itu.

 

“Koridor ini adalah sejajar dengan cita-cita Jalur dan Jalan China yang menghubungkan Timur Tengah dengan Eropah melalui jalan laut. 

 

"ECRL diunjurkan membawa kira-kira 5.4 juta penumpang dan mengangkut 53 juta tan kargo setahun mulai 2030, dengan nisbah pengangkutan 30% penumpang dan 70% lagi adalah kargo,” katanya. - DagangNews.com