Konflik geopolitik jejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Konflik geopolitik jejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara

KUALA LUMPUR 25 Mac - Indeks Pelopor (IP) Malaysia, menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi lebih perlahan, antaranya akibat konflik geopolitik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ia kekal melebihi 100.0 mata pada 110.1 mata semasa Januari 2022, dengan IP tahun ke tahun meningkat
0.02%, disokong terutamanya oleh bilangan syarikat baru didaftar.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prospek tersebut selari dengan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa apabila negara memasuki fasa peralihan endemik, di samping pelaksanaan gaji minimum baharu kepada RM1,500 yang dijangka meningkatkan penggunaan dan menyokong
permintaan domestik.

 

"Bagaimanapun, konflik geopolitik (Rusia-Ukraine) dan sekatan pergerakan di bandar-bandar utama China menjejaskan prospek ekonomi jika kedua-dua insiden itu berlarutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IP ialah alat yang digunakan untuk menjangka kenaikan dan penurunan ekonomi bagi purata 4 hingga 6 bulan ke hadapan. 

 

Bagi bulan ke bulan, IP menyusut 1.2% berbanding 0.5% yang direkodkan pada Disember 2021, terutamanya dipengaruhi oleh import benar semikonduktor (-0.6) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.5%).

 

Jabatan Perangkaan juga mendapati penularan pantas varian Omicron dijangka tidak memberi kesan yang ketara terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

 

Indeks Serentak (IS) pada Januari 2022 meningkat 5.5% tahun ke tahun kepada 117.4 mata berbanding 111.3 mata pada Januari 2021 dan tinggi 2.5% bulan ke bulan berbanding 114.5 mata pada Disember 2021.

 

Kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan dalam kapasiti penggunaan bagi sektor pembuatan (2.7%), indeks kuantiti perdagangan runcit (0.2%) dan nilai caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.1%). - DagangNews.com