Konsortium Citaglobal peroleh konsesi bekalan tenaga eksklusif kepada ECRL selama 30 tahun | DagangNews Skip to main content

Konsortium Citaglobal peroleh konsesi bekalan tenaga eksklusif kepada ECRL selama 30 tahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Konsortium yang diketuai oleh Citaglobal Bhd, Citaglobal Reneuco Energy Solution Sdn Bhd (CREES) telah menerima surat anugerah bersyarat (CLOA) daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk membekalkan tenaga elektrik dan tenaga boleh diperbaharui untuk rangkaian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

Konsortium yang ditubuhkan dengan Renueco Bhd tersebut menjadi pemegang konsesi eksklusif untuk tempoh 30 tahun dengan pilihan untuk memperbaharui selama 30 tahun tambahan yang dilaksanakan mengikut budi bicara MRL, kata Citaglobal dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Di bawah konsortium berkenaan, Citaglobal mempunyai 60% pegangan saham, manakala Reneuco memegang baki 40%.

 

 

Konsesi itu membabitkan penyediaan tenaga elektrik kepada kedua-dua sistem tarikan dan bukan tarikan bagi rangkaian ECRL itu, termasuk kerja pembangunan dan pembinaan kemudahan penghantaran serta sambungan bernilai RM600 juta. Kemudahan ini dijangka siap dan ditauliahkan secara berperingkat dari awal hingga pertengahan 2026.

 

“Dalam tempoh 30 tahun, konsortium itu dijangka turut membangun dan menyediakan tenaga hijau sehingga 100MW, yang bertujuan untuk mencapai gabungan 30% tenaga hijau untuk rangkaian ECRL,” katanya.

 

Menurut Citaglobal, projek ini adalah yang pertama di Malaysia, di mana rangkaian kereta api dibekalkan elektrik di bawah skim yang menentukan bidang pembekalan, membolehkan kedua-dua elektrik dan tenaga baharu disalurkan di bawah skim pengagihan awam.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, projek tersebut akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga, khususnya segmen tenaga boleh diperbaharui.

 

 

Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria
Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria

 

 

Pada masa yang sama, katanya, ia mempelbagaikan lagi asas pendapatan untuk membina aliran pendapatan berulang. Ini sejajar dengan kedudukan tenaga boleh diperbaharui sebagai kawasan pertumbuhan baharu untuk Citaglobal.

 

“Kami memberi tumpuan untuk menyampaikan penyelesaian bagi kejayaan keseluruhan ECRL sebagai projek infrastruktur negara yang strategik dan ingin memanfaatkan projek ini untuk memainkan peranan kami dalam merealisasikan wawasan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran kapasiti terpasang kepada 70% menjelang 2050,” ujar Mohamad Norza.


Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutif Reneuco, Datuk Mustakim Mat Nun berkata, dalam jangka panjang, konsesi itu dijangka membuka jalan kepada pengembangan perniagaan kumpulan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui dan utiliti.

 

 

Datuk Mustakim Mat Nun
Datuk Mustakim Mat Nun

 

 

Pada masa yang sama, Mustakim berkata kumpulan itu akan meneroka peluang perniagaan baharu dan nilai jangka panjang dalam menyokong sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara.

 

“Matlamat kami adalah untuk memastikan penghantaran elektrik dan tenaga hijau yang selamat, mencukupi, boleh dipercayai dan kos kompetitif kepada rangkaian ECRL dan tidak ada masa yang tepat selain daripada ini untuk kami memanfaatkan kepakaran kami yang telah lama wujud dalam segmen tenaga hijau,” tambahnya.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga, Reneuco menjangkakan konsesi itu akan menjana aliran pendapatan jangka panjang yang berterusan hasil daripada penjualan elektrik kepada rangkaian ECRL.  - DagangNews.com