Konsortium HSS Engineers laksana projek loji tenaga solar 29.99 MW di Kedah | DagangNews Skip to main content

Konsortium HSS Engineers laksana projek loji tenaga solar 29.99 MW di Kedah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Konsortium HSS Engineers Berhad telah menerima tawaran daripada Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan loji fotovoltaik solar dengan kapasiti eksport sebanyak 29.99MW di Kuala Muda, Kedah.

 

Konsortium tersebut terdiri daripada anak syarikatnya, HSS Engineering Sdn Bhd bersama tiga rakan kongsinya iaitu Shizen International Inc, Solarvest Asset Management Sdn Bhd dan Aziho Trading Sdn Bhd.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata projek yang dilaksanakan untuk Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) tersebut disasarkan memulakan operasi komersial pada Disember 2025.

 

Ia melibatkan pembangunan, pembiayaan, pembinaan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji fotovoltaik berdasarkan binaan, kendalian dan pemindahan.

 

Pembangunan projek bergantung kepada dua syarat yang perlu dipenuhi oleh konsortium iaitu pertama, pelaksanaan perjanjian pembelian kuasa maya dengan pengguna korporat membeli tenaga solar maya di bawah projek selama 20 tahun.

 

Syarat kedua, konsortium tersebut perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Tenaga berhubung permohonan untuk Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA).

 

Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata projek tersebut akan menjana pendapatan berulang kepada kumpulan, memberikan keterlihatan pendapatan bagi jangka panjang.

 

 

Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam
Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam

 

 

“Selain itu, usaha niaga ini mendorong kumpulan ke hadapan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui, di mana loji fotovoltaik solar tersebut akan menjana tenaga bersih untuk menyokong peningkatan pengguna elektrik yang bercita-cita untuk mencapai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Kami percaya ini adalah batu loncatan penting untuk kumpulan, seiring dengan strategi pertumbuhan keseluruhan kami untuk mempelbagaikan liputan sektor dan sumber pendapatan, serta menyediakan kemampanan lebih besar kepada perniagaan kami, yang akan meberi manfaat besar kepada semua pemegang kepentingan kami,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham HSS Engineers naik 0.5 sen atau 0.9% kepada 57 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM282.7 juta. Setakat ini, saham kumpulan itu telah mencatat peningkatan sebanyak 31% sejak awal tahun ini.  - DagangNews.com