Konsortium Kerajaan Negeri Sarawak, Kenanga dan Revenue Group mohon lesen bank digital BNM | DagangNews Skip to main content

Konsortium Kerajaan Negeri Sarawak, Kenanga dan Revenue Group mohon lesen bank digital BNM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Konsortium yang terdiri daripada Revenue Group Bhd, Kerajaan Negeri Sarawak dan Kenanga Investment Bank Bhd. telah mengemukakan permohonan mendapatkan lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 29 Jun lalu.

 

Dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, Revenue Group dan Kenanga berkata, SSG Digital Resources Bhd, adalah syarikat tujuan khas untuk konsortium tersebut.

 

Ini adalah sejajar dengan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital dan Prosedur Permohonan bagi Lesen Baharu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dikeluarkan oleh BNM.

 

"Konsortium itu, yang memanfaatkan kelebihan 3 rakan strategiknya, berhasrat memperbaiki dan mengubah kehidupan semua rakyat Malaysia, termasuk individu dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana, melalui penyelesaian perbankan digital yang telus dan berpatutan," jelasnya hari ini.

 

Pada 2 Julai lalu, BNM telah menerima 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital setelah tempoh permohonan selama 6 bulan berakhir pada 30 Jun lalu.

 

Menurutnya, senarai pihak yang berjaya dalam mendapatkan sehingga 5 lesen itu akan dimaklumkan pada suku pertama 2022.

 

Pelbagai pihak telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri. - DagangNews.com