KUALA LUMPUR 4 Mac - Ericsson menegaskan bahawa kontrak 5G dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) telah dimenangi secara adil, berdasarkan penyelesaiannya yang terkemuka dan kompetitif.
Malah, firma telekomunikasi Sweden ini juga komited untuk menjalankan perniagaan dengan integriti dan menyangkal sekeras-kerasnya sebarang dakwaan bahawa kontrak dengan DNB telah diperoleh atas sebarang sebab selain merit.
Seperti yang dinyatakan pada 8 Julai lalu, Ericsson menjelaskan bahawa kontrak 5G ini dianugerahkan berdasarkan standard tadbir urus yang ketat seperti dinasihatkan dan dibantu oleh EY Consulting.
"Ericsson berada dalam kedudukan teratas dalam kesemua 3 komponen utama dalam penilaian tender dari segi teknikal, komersial dan sosioekonomi.
"Berdasarkan kriteria ini sahaja, tawaran Ericsson dinilai sebagai yang paling kompetitif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi teknikal ia merangkumi keseluruhan keupayaan teknologi 5G, keupayaan penggunaan 5G, pendekatan bersepadu, rangkaian keselamatan dan siber serta operasi dan penyelenggaraan.
Komersial pula meliputi cadangan pembiayaan dan jumlah kos pemilikan manakala sosioekonomi merangkumi pembangunan tempatan dan impak positif.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerjasama antara DNB dan Ericsson, dengan mengatakan bahawa berdasarkan laporan berita, syarikat telekomunikasi itu didakwa melanggar pakatan dan mempunyai masalah pematuhan dalam perjanjian di Iraq pada 2019.
Pada Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall berkata, pemilihan Ericsson sebagai pemenang kontrak vendor Rangkaian Capaian Radio (RAN) bagi menyediakan perkhidmatan internet 5G di seluruh Malaysia disifatkan sebagai pilihan tepat.
Menurut Ericsson, ia akan menyalurkan pengalaman 5G bertaraf dunia dengan kerjasama DNB, membawa ketersambungan yang pantas dan boleh dipercayai kepada orang ramai dan perniagaan, yang akan mempercepatkan transformasi digital negara dan membolehkan Malaysia menerima Industri 4.0.
Ericsson merupakan peneraju global 5G, yang kini menjana 114 rangkaian 5G secara langsung, lebih separuh daripada rangkaian sedemikian di dunia.
"Ia adalah bukti keupayaan dan perkongsian kukuh pasukan Ericsson dan DNB bahawa 5G telah dilancarkan di Malaysia dalam masa kurang daripada 6 bulan kontrak diberikan.
"5G kini sudah tersedia di beberapa bahagian Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur," jelasnya.
Syarikat itu juga menjelaskan, sepanjang beberapa tahun lalu, Ericsson telah membuat pelaburan yang besar merentasi semua pasaran dan geografi untuk mengukuhkan program Etika & Pematuhan, termasuk mengembangkan pasukan pematuhannya dengan melaksanakan sistem pematuhan yang dipertingkatkan untuk mencegah, mengesan, melaporkan dan membetulkan ketidakpatuhan. -DagangNews.com