Kontrak baharu FPKO disediakan 8 Mac ini | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu FPKO disediakan 8 Mac ini

Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Isirung Mentah (FPKO) yang dirombak akan dilancarkan dan disediakan kepada peniaga pada 8 Mac 2021 (Isnin).

 

Bursa Malaysia Derivatives Berhad (BMD) berkata, rombakan tersebut dibuat dengan menerapkan beberapa pembaharuan spesikasi kontrak bagi memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

 

"Pasaran fizikal isirung sawit berkembang pesat selama bertahun-tahun dan telah menjadi sebagai salah satu komoditi terpenting di rantau ini.

 

"Dalam pada itu, kontrak FPKO akan berfungsi sebagai alat kepada pemain industri minyak laurik bagi melindungi risiko portfolio mereka sekali gus membolehkan penemuan harga yang telus untuk pemain pasaran sawit.

 

"Penambahbaikan baharu itu bertujuan untuk mewujudkan instrumen lindung nilai yang berkesan terhadap pasaran fizikal dan menyediakan instrumen alternatif untuk peserta tempatan dan antarabangsa untuk perdagangan," jelas BMD.

 

Mengulas lanjut, BMD memberitahu, penambahbaikan kontrak tersebut dijalankan melibatkan lima bidang utama.

 

Ia merangkumi gred kontrak, titik penghantaran, had harga harian, had kedudukan spekulatif serta mengenakan keperluan dokumen pengesanan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BMD, Samuel Ho berkata, penambahbaikan dibuat untuk menyediakan kontrak yang lebih baik berdasarkan keperluan industri sekali gus mewujudkan kesan yang positif terhadap pembangunan pasaran minyak isirong sawit mentah (CPKO).

 

"FPKO yang disemak semula akan memenuhi permintaan pemain industri untuk melindungi diri daripada risiko pergerakan harga yang merugikan di pasaran minyak laurik.

 

"Ini juga memberi peluang perdagangan baharu bagi peserta pasaran lain serta menambah kepelbagaian instrumen yang ada," katanya. - DagangNews.com