Kontrak baharu tingkatkan penggunaan aset Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu tingkatkan penggunaan aset Sapura Energy

KUALA LUMPUR 17 Jun - PublicInvest Research menjangkakan kejayaan Sapura Energy meraih kontrak baharu akan meningkatkan kadar penggunaan asetnya daripada lapan pelantar kepada 11 pelantar bagi segmen penggerudiannya selain meningkatkan tempahan tertunggaknya pada kadar RM8 bilion.

 

Firma itu berkata, projek yang terdiri daripada dua kerja pembinaan dan kejuruteraan (E&C) termasuk dua kontrak melibatkan penggerudian yang melibatkan penempatan empat pelantar penggerudian bagi menandakan kejayaan kontrak pertama bagi kumpulan itu.

 

"Projek melibatkan E&C dijangka menghasilkan margin kasar antara 15% hingga 17% manakala kontrak penggerudian, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sekitar 40%. 

 

"Tiada perubahan kepada unjuran kami selepas mengambil kira jangkaan pertambahan tempahan sebanyak RM4 bilion.

 

"Kadar tender mereka bagaimanapun berada pada paras RM25 bilion tetapi kekangan kewangan mungkin mengehadkan keupayaan mereka dalam melaksanakan lebih banyak projek," katanya dalam satu nota kajian. 

 

BACA JUGA: Sapura Energy menang 6 kontrak RM2.7 bilion

 

Terdahulu, syarikat minyak & gas bersepadu (O&G) global itu mengumumkan anak syarikat milik penuh dan usaha samanya dianugerahkan kontrak gabungan bernilai RM2.7 bilion, termasuk RM176 juta yang disumbangkan oleh syarikat usaha samanya.

 

Firma itu berkata, kejayaan meraih kontrak itu dijangka memberi gambaran pendapatan untuk beberapa tahun akan datang sekurang-kurangnya sehingga CY2025.

 

"Selepas mengambil kira keadaan semasa, kumpulan itu mungkin akan berdepan perbelanjaan yang ketat terutama pada peringkat awal.

 

"Walaupun berdepan kesukaran, kami menjangkakan projek berkenaan akan membantu kumpulan itu memberi fokus kepada kekuatan mereka dan menjadikannya lebih baik," katanya.

 

PublicInvest Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Sapura degan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu 5 sen sesaham. - DagangNews.com