Kontrak beli LMS dimeterai Malaysia-Turkiye, korvet kelas Ada pilihan TLDM dengan sistem peluru berpandu termoden | DagangNews Skip to main content

Kontrak beli LMS dimeterai Malaysia-Turkiye, korvet kelas Ada pilihan TLDM dengan sistem peluru berpandu termoden

LMS Batch 2 yang akan dibina mengikut rekaan korvet kelas Ada.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Jun - Malaysia mengesahkan pembelian kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Turkiye apabila menandatangani Surat Penerimaan (Letter of Acceptance – LOA).

 

Perolehan LMS dijangka melibatkan peruntukan lebih RM2 bilion.

 

Tiga kapal LMS berdasarkan rekaan korvet kelas Ada yang dibina syarikat Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) menjadi pilihan TLDM bagi pembelian fasa pertama ini.

 

 

 

 

STM telah menyatakan komitmen bahawa ketiga-tiga buah kapal LMS Batch 2 itu akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu tiga tahun enam bulan.

 

Ini bermakna kapal LMS akan diterima pada tahun 2027.

 

 

Kapal
Mohamed Khaled dan Gorgun selepas memeterai LOA pembelian 3 kapal LMS TLDM.

 

 

LOA ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang kini dalam lawatan kerja ke Turkiye dengan Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB) Turkiye, Prof Dr Haluk Gorgun.

 

Terdahulu, Mohamad Khaled dan Gorgun turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk-produk pertahanan.

 

Gorgun menerusi hantaran dalam akaun X memaklumkan, sebagai kontraktor utama STM akan membina tiga buah kapal LMS Batch 2 di Turkiye untuk memenuhi keperluan TLDM.

 

Beliau juga berkata, produk-produk daripada beberapa syarikat pertahanan Turkiye seperti Havelsan, Aselsan dan Roketsan akan diguna pada kapal-kapal LMS.

 

Kapal

 

Kapal

 

Berdasarkan spesifikasi yang dipamerkan STM, kapal LMS TLDM ini akan mempunyai keupayaan dengan persenjataan pertahanan udara, operasi antikapal selam dan peperangan elektronik.

 

Ketiga-tiga LMS ini juga dijangka dilengkapi sepenuhnya dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu buatan Turkiye.

 

Ini berdasarkan penyertaan syarikat Roketsan yang juga merupakan pengeluar sistem persenjataan jarak jauh seperti peluru berpandu utama Turkiye.

 

Berkemungkinan besar LMS akan menggunakan peluru berpandu antikapal ATMACA.

 

Roketsan membangunkan peluru berpandu ATMACA bagi menggantikan peluru berpandu Harpoon buatan Amerika Syarikat yang diguna ketika ini.

 

Kapal

 

Kapal
Sistem peluru berpandu ATMACA.

 

ATMACA merupakan peluru berpandu kruis antikapal dan boleh mengenai sasaran sejauh 220 kilometer (km).

 

Jika benar ATMACA dipilih TLDM, ini merupakan satu lonjakan besar dalam keupayaan pertahanan maritim negara.

 

Selama ini persenjataan antikapal TLDM adalah peluru berpandu Exocet MM40 Block II yang telah pun berusia.

 

Spesifikasi LMS yang diberikan oleh STM ini juga sama sepertimana Kapal-kapal korvet kelas Ada yang dibina untuk tentera laut Turkiye, Pakistan dan Ukraine.

 

Kapal

 

Kapal

 

Persenjataan lain pada kapal ini ialah meriam utama kaliber 76mm Naval Gun, meriam 30mm SMASH Aselsan dan peluru berpandu antipesawat secara lancaran menegak.

 

LMS Batch 2 seberat 2,500 tan ini juga mempunyai ciri-ciri halimunan serta ruang dan geladak membawa helikopter.

 

Fasa seterusnya melibatkan 3 buah lagi kapal LMS Batch 2 akan diputuskan oleh kerajaan sebaik pembinaan kapal ini dimulakan. - DagangNews.com