Koop Sahabat agih dividen RM3.9 juta kepada 235,645 anggota | DagangNews Skip to main content

Koop Sahabat agih dividen RM3.9 juta kepada 235,645 anggota

Koop Sababat

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 7.5% bersamaan RM3.9 Juta kepada 235,645 anggotanya.

 

Pembayaran dividen itu adalah berdasarkan modal syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di mana dividen bersih yang diterima oleh setiap anggota selepas ditolak pembayaran zakat. 

 

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, pengumuman jumlah dividen itu dibuat pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koop Sahabat kali ke-8 yang dibuat secara dalam talian bersama lebih 111 perwakilan di seluruh negara.

 

Mohd Najib Mohd Noor
Mohd Najib Mohd Noor

 

Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Jaafar Ahmad.

 

“Koop Sahabat masih konsisten memberikan pulangan tinggi kepada anggotanya biarpun momentum perniagaan Koop Sahabat terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu. 

 

"Pun begitu, Koop Sahabat masih mencatatkan keuntungan walaupun berlaku kenaikan pada kos serta mempunyai pendapatan yang kukuh menerusi aktiviti perniagaan Sahabat Ar-Rahnu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Keupayaan yang konsisten dalam membayar dividen pada kadar tinggi secara tidak langsung membuktikan Koop Sahabat mengutamakan anggota sekali gus memberikan pulangan setimpal dari pelabur dalam kalangan usahawan B40.

 

“Disamping dapat membantu meringankan beban kewangan, dividen diberikan menjadi rangsangan kepada anggota bagi memajukan perniagaan diusahakan anggota.

 

Koop Sahabat turut merekodkan peningkatan jumlah aset pada kadar 1.93% kepada RM740 juta pada 2020 berbanding RM726 juta pada 2019.

 

Ia adalah hasil daripada beberapa peningkatan aktiviti utama seperti perkhidmatan kewangan dan hartanah.

 

Tambahnya, koperasi berkenaan buat pertama kalinya turut mengeluarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan memandangkan 99% daripada ahlinya adalah wanita. 

 

“Koop Sahabat meneliti pelaburan mampu memberikan kesan faedah tinggi seperti bidang hartanah selain perkhidmatan perladangan yang turut menunjukkan peningkatan harga sawit. 

 

“Kami turut melancarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan bahkan sedang membimbing ejen dan stokist terdiri daripada Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

“Selain itu, Koop Sahabat turut menjalankan pelaburan dalam beberapa syarikat awam yang memberikan pulangan pasti kerana enggan mengambil risiko pelaburan anggota," ujar beliau lagi. - DagangNews.com