KUALA LUMPUR 19 Julai - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd melancarkan perumahan mampu milik, Rumah Selangorku Shorea Garden bersempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan (HKNWP’24).
Pelancaran Rumah Selangorku itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, projek itu merupakan pembangunan usaha sama antara Koop Sahabat dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).
Kata beliau, sebanyak 230 unit dibuka untuk jualan pada harga bermula daripada RM275,000.
Rumah Selangorku Shorea Garden menawarkan kemudahan asas 2 unit termasuk empat letak kenderaan, pusat komuniti, serta pondok kawalan keselamatan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 10 hektar dengan anggaran nilai RM63.8 juta.
Pada majlis perasmian itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan (SKMWP) menerusi New Strategic Initiatives (NSI) yang menyasarkan Pembangunan Hartanah bagi Projek Pembinaan Rumah Mampu Milik telah berjaya dicapai hasil daripada pelancaran projek itu.
Koop Sahabat berkata, program itu merupakan usaha sama syarikat itu dengan SKMWP bagi menggalakkan koperasi menceburi bidang Pembangunan Hartanah.
Projek Integrasi Residensi Prihatin dan Residensi Prihatin, di Presint 5 Putrajaya atau nama lainnya, Residensi Serunai merupakan projek-projek bakal dilancarkan oleh Koop Sahabat.
“Selain itu, Koop Sahabat akan melancarkan projek pembangunan Rumah SelangorKu Jenis Trio sebanyak 1,210 unit dan 244 unit kondominium di Bukit Bandaraya Shah Alam,” menurut kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai koperasi kedua terbaik di Wilayah Persekutuan Oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan semasa majlis itu.
Pengiktirafan itu merupakan tahun yang ke enam yang mana syarikat itu berada dalam senarai 10 Koperasi terbaik di Malaysia.
Koop Sahabat menyatakan pengiktirafan itu juga berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir dan peningkatan prestasi direkodkan pada tahun semasa.
Syarikat itu telah mengumumkan pengagihan kadar dividen pada tahun kewangan 2023 sebanyak 10% kepada anggotanya.
“Kami berhasrat untuk mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaan bagi memberi pulangan dividen kadar terbaik pada tahun-tahun akan datang dan memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang anggota, ” katanya - DagangNews.com