Koperasi Tentera sasar jadi institusi kewangan digital menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Koperasi Tentera sasar jadi institusi kewangan digital menjelang 2030

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 April - Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) berhasrat untuk menjadi institusi kewangan digital yang disegani menjelang 2030 selepas sistem perbankan yang diguna pakainya diiktiraf paling canggih melebihi standard bank komersial di negara ini.

 

Ini susulan kejayaan koperasi itu memenangi anugerah berprestij Asian Banker Awards 2019 dalam Inisiatif Sistem Perbankan Teras Terbaik (Aplikasi atau Pengaturcaraan) untuk segmen Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Tentera, Brig Jen Datuk Ahmad Zahudi Salleh berkata, bagi mencapai hasrat koperasi itu untuk menjadi peneraju institusi kewangan digital disegani, beberapa perkara perlu dirancang dalam memastikan penguasaan teknologi digital dan ekonomi bebas tunai sebelum 2025.

 

Katanya, bagi membangunkan keupayaan digital, Koperasi Tentera sedang merangka Pelan lima tahun (2018-2022) berkonsepkan Melebarkan Aspirasi yang merangkumi kerangka strategik segmen perniagaan kewangan, sumber manusia dan tadbir urus.

 

“Kaedah pelan strategik ini dijangka akan meningkat hasil sumbangan pendapatan kepada 30% menjelang 2025 dan 60% pada 2030.

 

Datuk Ahmad Zahudi Salleh
Ahmad Zahudi Salleh

 

“Pelan ini juga menitik beratkan pembabitan koperasi dalam sektor perbankan digital dan fintech serta inovasi yang dikenal pasti sebagai gelombang pertumbuhan Koperasi Tentera seterusnya.

 

“Pun begitu, penekanan terus diberikan terhadap perkhidmatan konvensional sejajar perkembangan teknologi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Koperasi Tentera akan memanfaatkan perkhidmatan saluran perbankan internet, aplikasi perbankan mudah alih dan cawangan serta pusat khidmat pelanggan dan platform digital e-dompet.

 

Ujar beliau, sistem perbankan dibangunkan mengikut standard bank komersial yang membolehkan koperasinya menawarkan perkhidmatan setanding perbankan komersial sejak hampir empat tahun lalu.

 

“Dalam usaha memacu fintech, koperasi turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat lain seperti Bee Internet dan MyMy untuk meningkatkan saluran operasi terutamanya dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

 

Beliau berkata, kemampuan lonjakan pertumbuhan melebihi lima kali ganda sejak 15 tahun lalu dalam pelbagai segmen perniagaan termasuk modal, aset, keuntungan dan pendapatan. – DagangNews.com