KUALA LUMPUR 27 Dis – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperuntukkan bantuan permulaan keseluruhannya sebanyak RM1 juta kepada koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, nilai maksimum yang akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak adalah sebanyak RM30,000.
Katanya, bantuan ini tidak terhad untuk premis koperasi yang terjejas banjir sahaja tetapi juga untuk membiayai kerosakan dan kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi yang terjejas.
"SKM juga membenarkan mana-mana koperasi di negeri-negeri yang terjejas dengan banjir menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen-dokumen perakaunan akibat banjir.
"Penangguhan ini juga tidak menolak kemungkinan koperasi juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung
tahunan ke satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pasca banjir selesai sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) daripada 15% kepada 8%, daripada untung bersih terauditnya selepas pelarasan operasi akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak 7% yang boleh dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas.
"Ini juga merupakan salah satu inisiatif dan keprihatinan SKM bagi membantu koperasi menangani fasa pemulihan COVID-19 dan kesan bencana banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara.
"Inisiatif ini diberikan kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 sehingga 30 November 2022," tambahnya. - DagangNews.com