Koperasi UIAM tawar diskaun untuk mahasiswa menerusi JMKM Siswa | DagangNews Skip to main content

Koperasi UIAM tawar diskaun untuk mahasiswa menerusi JMKM Siswa

Kakitangan KUIAMB menyusun barang jualan sempena tawaran diskaun JMKM Siswa di Co-Mart UIAM.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov - Bersempena dengan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa, Koperasi UIAM Berhad (KUIAMB) menawarkan diskaun jualan murah untuk para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula dari 25 Oktober hingga 15 Disember 2022.

 

Empat buah kedai serbaneka (Co-Mart) yang terlibat dalam program JMKM Siswa, termasuk Co-Mart Bilal, Co-Mart Ruqayyah dan Co-Mart Central yang terletak di UIAM Kampus Gombak dan Co-Mart Al-Biruni di Kampus Gambang. 

 

Terdahulu, KUIAMB mengembangkan sayap perniagaan dengan membuka sebuah lagi Co-Mart untuk kemudahan warga UIAM. Kedai yang baharu dibuka ini adalah yang ke-6 dan beroperasi di kampus-kampus UIAM yang terletak di Kampus Gombak dan Kampus Gambang. 

 

Pengerusi KUIAMB yang juga Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) UIAM, Prof Dr Akmal Khuzairy Abd. Rahman berkata, dengan pembukaan kedai baharu itu dapat membantu warga UIAM untuk mendapatkan barangan-barangan keperluan asas pembelajaran.

 

“Dengan pembukaan kedai baharu ini, ia dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga UIAM terutamanya para pelajar kerana akses mereka mudah untuk mendapatkan kelengkapan asas pembelajaran seperti alat tulis, buku, makanan, minuman serta barangan kebersihan dan kelengkapan diri.

 

“Selain itu juga para pelajar akan menikmati diskuan JMKM Siswa di kedai-kedai Co-Mart yang ada di UIAM dan semua pelajar dijemput untuk boleh mendapatkan segala keperluan asas yang dijual di semua Co-Mart UIAM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

uiam
Antara barangan yang dijual dengan tawaran diskaun JMKM Siswa di Co-Mart UIAM

 

 

uiam

 

 

KUIAMB adalah antara koperasi universiti awam yang dipilih untuk menjayakan program tersebut. JMKM Siswa adalah inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

 

Objektif JMKM Siswa adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa yang semakin meningkat terutamanya ketika permulaan semester baharu di universiti. 

 

 

uiam
Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman memotong riben sebagai simbolik perasmian pembukaan Co-Mart Central di UIAM.

 

 

Program ini merupakan inisiatif susulan untuk membantu meringankan kos sara hidup mahasiswa. - DagangNews.com