KUALA NERUS 11 Mei - Koperasi Usahawan Groom Big Terengganu Berhad (Kuganu) komited membantu lebih 100 usahawan di bawah naungannya untuk memperkasakan jenama KOGU, sebagai inisiatif menembusi pasaran negara dan antarabangsa secara lebih meluas.
Pengerusi Kuganu, Norlukmal Mat Ghani berkata, jenama itu baru diperkenalkan tahun lalu dan diseragamkan untuk semua produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutama usahawan dari Terengganu.
Beliau berkata, buat masa ini terdapat 50 produk telah didaftarkan kod unik (Stock Keeping Unit-SKU) di Hub Kuganu yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu dekat Kubang Jela, Manir di daerah Kuala Nerus.
Menurutnya, semua produk itu adalah hasil keluaran lebih 30 usahawan dan syarikat yang berdaftar dengan Kuganu ketika ini.
"Pada tahun ini pula, kita sasarkan penambahan sehingga 100 produk PMKS dengan sasaran jualan RM350,000.
"Kita akui masih bertatih kerana Hub Kuganu baru masuk tahun pertama operasi, namun kita yakin dengan komitmen semua pihak akan dapat mencapai jualan RM1 juta pada tahun ketiga operasi nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada DagangNews.com di majlis sambutan hari raya Aidilfitri Kuganu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di sini, Rabu.
Pada majlis itu, terdapat tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Kuganu dan beberapa syarikat untuk membantu mereka dalam aspek pemasaran, pengurusan serta hub pengumpulan dan produk IKS Terengganu.
Mengulas lanjut, Norlukmal berkata, Kuganu turut berkolaborasi dengan hub-hub usahawan di negeri lain seperti Hala valley di Plaza Angsana Johor serta Sosial Bispoint di Seksyen 14, Shah Alam bagi pasaran Selangor.
"Kita juga telah mengatur beberapa inisiatif untuk melebarkan lagi jaringan rangkaian perniagaan usahawan ke luar negara dan buat masa ini, beberapa produk telah pun berada di pasaran Singapura dan Brunei," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai usahawan menyertai Kuganu kerana ia adalah sebagai platform untuk meluaskan lagi jaringan dalam bidang perniagaan, perkhidmatan jurulatih dan konsultan untuk permulaan serta mengembangkan lagi perniagaan syarikat.
Tambahnya, Kuganu juga membantu usahawan untuk mendapatkan pensijilan pengesahan halal, pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), Sistem Pengurusan Kualiti ISO dan sijil keperluan yang lain.
Menurutnya, Kuganu juga menyediakan perkhidmatan pendaftaran penjenamaan dan pemasaran untuk usahawan serta khidmat pakar dalam pendigitalan bisnes.
"Peranan media sosial dan semua platform pemasaran digital juga amat penting dan kami di Kuganu turut membantu usahawan menguasai kemahiran pemasaran menggunakan kaedah itu.
"Walaupun baru hampir empat tahun Kuganu ditubuhkan, banyak manfaat telah diperolehi usahawan-usahawan, malah dividen keuntungan koperasi telah diberikan pada tahun lalu buat kali pertama dan kita menjangka nilai dividen pada tahun ini akan lebih baik," katanya. - DagangNews.com