KUALA LUMPUR 13 Nov - Keuntungan bersih Johor Plantations Group Bhd (JPG) meningkat sebanyak 12.5% kepada RM76.4 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) daripada RM67.9 juta pada 3QFY23.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JPG berkata, hasil kumpulan melonjak 24.7% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM113.2 juta pada 3QFY24 daripada RM90.8 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
"Terdapat beberapa faktor yang mendorong prestasi kewangan suku tersebut termasuk kenaikan 9.8% jumlah penghantaran minyak sawit mentah (MSM) kepada 81,665 tan metrik (MT).
"Selain itu, peningkatan dalam volum isirung kelapa sawit (PK) sebanyak 5.5% kepada to 21,608 MT, lonjakan 5.7% harga jualan MSM serta kenaikan harga jualan PK sebanyak 29.4%," katanya.
Di samping itu, bagi kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), hasil kumpulan meningkat sebanyak 108.2% kepada RM241.9 juta daripada RM116.2 juta pada 9MFY23.
Katanya, peningkatan ini menyumbang kepada kenaikan 69.7% dalam keuntungan bersih kepada RM176.2 juta pada tempoh tersebut manakala hasil kumpulan meningkat sebanyak 23.1%, kepada RM1,059.9 juta.
"Peningkatan dalam prestasi kewangan bagi tempoh itu didorong oleh kenaikan 19.5% dalam penghantaran volum MSM kepada 217,852 MT, peningkatan 13.7% penghantaran volum PK kepada 56,635 MT, harga jualan MSM yang meningkat sebanyak 2.2% dan 18.1% kenaikan harga jualan PK.
"Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.25sen sesaham bagi suku ini yang perlu dibayar pada 17 Disember 2024," katanya.
Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, prestasi kewangan kumpulan kali ini didorong oleh sokongan daripada Lembaga Pengarah dan pasukan JPG yang bkerja keras meningkatkan kecekapan operasi.
"Ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju industri yang dipercayai dalam perjalanan pertumbuhan ke arah menjadi syarikat minyak sawit bersepadu, sejajar dengan komitmen kumpulan untuk mencipta nilai untuk pemegang kepentingan kami.
“Melangkah ke hadapan, kami juga akan menumpukan usaha untuk membangunkan aliran pendapatan baharu.
"Ini akan direalisasikan melalui pembinaan Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu kami, menandakan kemasukan kami ke dalam segmen perniagaan hiliran," katanya. - DagangNews.com