Kos bahan binaan naik antara 0.3% hingga 23.3% bagi Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Kos bahan binaan naik antara 0.3% hingga 23.3% bagi Jun 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 5.5 dan 18.9%, Sabah antara 0.3 dan 15.8 % manakala Sarawak antara 6.0 dan 23.3% bagi Jun 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bahan binaan mencatatkan peningkatan pada bulan lalu berbanding tahun sebelum.

 

Katanya, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan 'mycon 60 high tensile deformed bars' meningkat 15.9% dengan harga purata RM3,897.11 setiap tan metrik berbanding RM3,362 tahun lalu.

 

Harga simen pula mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2% pada Mei 2022 dengan RM21.05 bagi setiap 50 kilogram (kg) berbanding RM18.66 bagi setiap 50 kg pada Jun 2021.

 

"Bagaimanapun, peningkatan harga bagi kedua-dua bahan ini adalah lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

 

"Selain itu, bahan-bahan binaan lain seperti papan lapis, kayu, kaca, batu bata & dinding, bumbung dan bahan siling juga turut mencatatkan peningkatan.

 

"Harga purata bahan binaan yang dinyatakan di dalam IKB adalah merujuk kepada harga purata yang terdapat di cawangan yang menjual bahan binaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Laporan Persatuan Keluli Dunia (WSA) menyatakan pengeluaran keluli mentah dunia bagi 64 buah negara adalah sebanyak 169.5 juta tan pada Mei 2022, dengan penurunan sebanyak 3.5% berbanding Mei 2021.

 

Walaupun ketidaktentuan yang disebabkan konflik geopolitik dan penutupan di China, permintaan keluli global diramalkan meningkat pada 2022 dan 2023.

 

Penggunaan keluli global dijangka meningkat kepada 1.84 bilion tan pada 2022 dan permintaan pada 2023 pula ia diramalkan meningkat 2.2% kepada 1.88 bilion tan.

 

Tinjauan Pasaran Komoditi yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, harga komoditi utama besi dan bahan mineral merosot 5.5% pada Jun 2022, dengan semua logam utama mencatatkan penurunan seperti timah jatuh sebanyak 11.8%, aluminium 9.4% dan nikel 8.6%. - DagangNews.com