Kos bahan binaan tinggi, Malacca Securities berhati-hati terhadap prospek pemulihan margin keuntungan Econpile | DagangNews Skip to main content

Kos bahan binaan tinggi, Malacca Securities berhati-hati terhadap prospek pemulihan margin keuntungan Econpile

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Malacca Securities kekal berhati-hati terhadap prospek Econpile Holdings Berhad disebabkan kos bahan binaan yang tinggi dan mungkin terus menjejaskan pemulihan dalam margin keuntungan kumpulan.

 

Firma itu berkata, sebelum COVID-19, industri pembinaan beroperasi dalam margin keuntungan yang kecil.

 

"Bagaimanapun usaha mengurangkan kekurangan pekerja ketika ini adalah sesuatu yang sangat positif untuk keseluruhan industri pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn. Bhd. menerima surat anugerah daripada Bangsar Hill Park Development Sdn. Bhd. bagi menjalankan kerja-kerja tanah dan cerucuk sebuah pangsapuri bernilai RM20.8 juta di Lorong Maarof Kuala Lumpur.

 

Projek itu melibatkan kerja-kerja cerucuk, penutup cerucuk, papak bawah tanah (B1) dan kerja tanjakan konkrit bertetulang Fasa 1B1, Blok B – blok pangsapuri 62 tingkat dengan 410 unit dan Fasa 1B2 (Blok C) – blok pangsapuri 49 tingkat dengan 392 unit at Lot 365, Lorong Maarof, Kuala Lumpur.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan sementara menunggu keputusan 3QFY23 yang akan keluar pada 24 Mei 2023.

 

Katanya, menerusi pemulihan yang ditunjukkan semasa 2QFY23 (kerugian bersih mengecil kepada hanya RM1.6 juta), potensi pemulihan ke arah keuntungan mungkin berlaku, kecuali sebarang keadaan yang tidak diduga.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 16 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com