Kos bahan mentah Nova Wellness naik kesan kelemahan ringgit di pasaran - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Kos bahan mentah Nova Wellness naik kesan kelemahan ringgit di pasaran - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov -  Kelemahan nilai ringgit di pasaran menyebabkan kos bahan mentah Nova Wellness Group Berhad naik dan menyebabkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras kumpulan itu menurun sebanyak 38.2% kepada RM2.6 juta.

 

Malacca Securities berkata, walaupun keadaan ringgit mula mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, namun ketidaktentuan ekonomi global selain kelembapan di China memberikan cabaran kepada kumpulan itu bagi mencapai sasaran pembukaan 1,200 cawangan pada akhir 2023.

 

Katanya, keadaan itu menyaksikan kemungkinan sasaran itu menjangkau 2024.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu tetap komited bagi mengembangkan kehadiran pasaran portfolio produknya sambil berusaha untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

Bagaimanapun, PATMI yang lebih lemah dipercayai disebabkan oleh dolar AS yang lebih kukuh, dengan pembelian bahan mentah Nova Wellness dan bahan pembungkusan dari luar negara didenominasikan dalam AS dolar manakala kos jualan untuk 1QFY24 meningkat 63%.

 

Sementara itu, perbelanjaan lain meningkat lebih daripada 100% berikutan peruntukan yang dibuat untuk stok lama.

 

Dalam pada itu, PATMI teras jatuh 38% dari tahun ke tahun disebabkan kos jualan yang lebih tinggi dan peningkatan perbelanjaan lain disebabkan oleh dolar AS yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun PATMI teras kumpulan itu sebanyak 21.2%, 21.8% daripada RM16.6 hingga RM17.8 juta bagi FY24-FY25 kepada RM13 juta hingga RM14 juta.

 

Katanya, semakan itu telah mengambil kira sumbangan yang lebih lemah daripada segmen OEM, ditambah dengan persekitaran kos operasi yang lebih tinggi.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'jual' dengan harga sasaran (TP) 57 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com