Kos input berkurangan, Hup Seng catat sedikit peningkatan untung bersih kepada RM13.7 juta bagi 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kos input berkurangan, Hup Seng catat sedikit peningkatan untung bersih kepada RM13.7 juta bagi 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - Hup Seng Industries Berhad mencatatkan sedikit peningkatan untung bersih pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) kepada RM13.68 juta berbanding RM12.43 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil serta pengurangan kos input utama.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan mencatatkan peningkatan kecil kepada RM95.14 juta berbanding RM94.93 dengan jualan domestik mencatatkan peningkatan RM700,000 berbanding sebelum ini manakala pasaran eksport Myanmar susut sebanyak RM500,000.

 

Katanya, untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) meningkat kepada RM45.08 juta berbanding RM26.08 juta pada tahun sebelumnya disokong peningkatan sumbangan kesan daripada pengurangan kos input utama dan hasil jualan yang lebih tinggi.

 

Hasil kumpulan bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2023 meningkat 12% kepada RM357.27 juta berbanding RM318.19 juta tahun lalu disebabkan peningkatan jumlah jualan.

 

"Jualan domestik yang lebih tinggi yang meningkat sebanyak 16% atau RM38.4 juta telah didaftarkan untuk semua saluran. 

 

"Jualan eksport meningkat sedikit sebanyak 1% atau kira-kira RM700,000 terutamanya dari Singapura," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan persekitaran operasi kekal berdaya saing dan tahun ini merupakan antara tahun yang sangat mencabar.

 

Katanya, mereka akan meneruskan berkembang bagi memenuhi permintaan pengguna selain berusaha untuk terus meningkatkan kualiti produk.

 

"Kami juga akan memberi fokus untuk mengekalkan bahagian pasaran dan daya saing produk bagi meningkatkan populariti biskut Hup Seng dalam industri.

 

"Pada masa sama kami akan memanfaatkan kecekapan operasi dan inisiatif penjimatan kos bagi memastikan prestasi yang lebih baik dicapai pada tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com