Kos input lebih rendah, Kenanga Research unjur Hartalega catat untung bersih sebanyak RM42 juta pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Kos input lebih rendah, Kenanga Research unjur Hartalega catat untung bersih sebanyak RM42 juta pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kenanga Research mengunjurkan Hartalega Holding Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42 juta pada FY24 didorong input bahan mentah serta harga gas asli yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu juga meningkatkan sasaran untung bersih kumpulan sebanyak 92% pada FY25.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan peningkatan secara beransur-ansur dalam pesanan dan menjangkakan jumlah jualan bagi 3QFY24 lebih tinggi daripada suku sebelumnya disokong oleh pembinaan semula inventori daripada pengedar.

 

Melangkaui 3QFY24, kumpulan itu menjangkakan pesanan jualan suku tahunan yang tidak menentu kerana pengedar atau pembeli tidak melihat keperluan mendesak bagi membuat pesanan  besar atau memegang stok yang banyak kerana bekalan adalah banyak.

 

"Purata harga jualan (ASP) dijangka lebih rendah dalam tempoh dua suku akan datang berikutan kelemahan dalam harga gas asli.

 

"Memandangkan harga gas asli susut secara berurutan pada 3QCY23 dan 2QFY24, biasanya pengeluar sarung tangan perlu menyerahkan penjimatan kos kepada pelanggan.

 

"Bagaimanapun, disebabkan persaingan semasa akibat lebihan bekalan yang besar dan penggunaan industri yang rendah dengan purata 40%, pelanggan boleh memilih untuk membeli daripada pengeluar lain apabila terdapat percubaan untuk menaikkan harga," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

BACA JUGA: Hartalega catat untung bersih sebanyak RM27.7 juta bagi 2QFY24

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar pada suku berikutnya, dibelenggu oleh lebihan bekalan yang besar.

 

Bagaimanapun , mereka menjangkakan situasi lebihan bekalan beransur-ansurpulih berikutan tanda-tanda pengeluar mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih

 

Katanya, situasi permintaan-bekalan hanya akan akan seimbang pada 2025 apabila hampir tiada lagi kilang baharu sementara permintaan global sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

"Permintaan sarung tangan diunjur meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

 

"Walaupun terdapat peningkatan, lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga dan penggunaan kilang yang rendah terus menghantui industri," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM2.33 berbanding RM1.85 sesaham. - DagangNews.com