Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga dari kanan) melancarkan Kajian Semula Pasaran Di Bawah Akta Persaingan 2010 oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kos sewa yang tinggi, terutama kepada penyewa di pusat beli-belah masih menjadi dilema kepada sebahagian besar peniaga termasuk pengendali pasar raya besar hingga memaksa mereka menutup operasi atau sekurang-kurangnya menyemak semula strategi perniagaan, menurut Kajian Semula Pasaran Di Bawah Akta Persaingan 2019.
Kajian tersebut dikeluarkan hari ini oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk sektor perkhidmatan di Malaysia (borong dan runcit untuk produk terpilih) bagi mengkaji semula peraturan dan dasar yang menghalang persaingan dalam sektor perdagangan borong dan runcit (WRT) dengan fokus kepada empat produk terpilih iaitu makanan dan minuman (terproses); penjagaan diri dan kelengkapan peribadi; produk pembersihan rumah dan pakaian.
Berdasarkan kajian ini, ia mendapati kos operasi akan terus meningkat berikutan pelaksanaan gaji minimum yang tinggi mulai 2020 dan cadangan pemansuhan program subsidi minyak yang secara tidak langsung akan meningkatkan kos pengangkutan dan memberi kesan kepada harga barang.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dalam pembentangan laporan itu berkata, walaupun platform dalam talian dapat mengurangkan kos operasi, tetapi pihaknya mendapati pemain industri tidak cekap dan mampu untuk menangani trend baharu ini, selain terpaksa berhadapan dengan wabak COVID-19 dan turut dibebani dengan pengenalan cukai digital.
“Kajian terbaharu menunjukkan 50% daripada rakyat Malaysia membeli-belah secara dalam talian tetapi malangnya, masih terdapat pemain industri yang tidak efisien untuk menerima trend ini sedangkan ia mampu mengurangkan kos operasi,” katanya dalam majlis pelancaran kajian tersebut yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, hari ini.
Daripada kajian yang dijalankan itu didapati, majoriti syarikat mikro dan kecil bergantung kepada kedai fizikal untuk menjalankan perniagaan dengan kurang daripada 7% menggunakan kemudahan secara dalam talian.
Ini menyebabkan jualan mereka semakin menurun dan berdepan kesukaran apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan gagal menangani perubahan dalam persekitaran perniagaan.
Selain itu, kebanyakan peruncit mengalami masalah mencari pekerja tempatan yang berminat bekerja dalam sektor peruncitan termasuk peruncit asing yang bergelut untuk memenuhi keperluan 30% minimum pekerja tempatan.
Malah, kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga tidak mampu memenuhi syarat minimum yang ditetapkan oleh peruncit besar dari segi jaminan kualiti dan keselamatan produk yang boleh menjejaskan imej sesuatu jenama.
Kajian yang dimulakan pada Julai 2019 ini turut mendapati, perniagaan di Malaysia masih tidak menyedari kesan dan kandungan Akta Persaingan 2010 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Wujud banyak salah faham dalam kalangan peruncit mengenai Akta Antipencatutan dan mereka menyifatkan prosesnya amat rumit dan tidak membawa sebarang makna kepada pemain industri.
“Mereka juga menyatakan rasa kecewa kerana mempunyai tanggapan yang margin keuntungan syarikat ‘dipantau’ dan harga pula ‘dikawal’ ketika kos menjalankan perniagaan adalah tinggi,” jelas laporan itu. - DagangNews.com