Kos pengeluaran minyak sawit mentah dijangka terus meningkat akibat kenaikan gaji pekerja, harga baja - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kos pengeluaran minyak sawit mentah dijangka terus meningkat akibat kenaikan gaji pekerja, harga baja - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) akan terus melonjak pada masa akan datang akibat kenaikan harga baja hampir dua kali ganda akibat sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Belarus dan Rusia.

 

Firma itu berkata, kos pengeluaran MSM bagi 1QFY22 mencatatkan peningkatan dan ia disumbangkan oleh kenaikan gaji dan harga baja.

 

Katanya, kos penghasilan MSM Sime Darby Plantation (kos kepada pelanggan) melonjak kepada RM2,300 satu tan pada 1QFY22 daripada RM1,900 untuk satu tan pada FY21.

 

"Genting Plantation menjangkakan kos pengeluaran bagi setiap tan meningkat kepada RM2,200 satu tan pada FY22 berbanding RM1,900 bagi setiap tan untuk FY21.

 

"Kos keseluruhan pengeluaran Genting Plantation pada 1QFY22 meningkat kepada RM2,075 satu tan berbanding RM1,980 bagi setiap tan pada 1QFY21," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, disebalik harga pengeluaran yang tinggi, kebanyakan hasil yang diperoleh pada 1QFY22 berjaya mencapai jangkaan mereka kecuali Genting Plantation.

 

Katanya, pendapatan kumpulan itu adalah di bawah konsensus kerana sumbangan daripada pendapatan aktiviti hiliran lebih rendah berbanding jangkaan.

 

"Kami menaikkan unjuran harga purata MSM bagi FY22 untuk pengeluar berskala besar kepada RM4,500 satu tan berbanding RM4,000," katanya.

 

Firma itu percaya, bahawa harga MSM dan harga saham syarikat perladangan mencerminkan perkara positif dalam sektor sawit seperti perang Ukraine dan dasar larangan eksport Indonesia.

 

"Pengeluaran MSM di Malaysia dijangka meningkat pada 2H2022 disokong oleh kehadiran semula pekerja asing dan faktor bermusim.

 

"Selepas mengambil kira situasi yang berlaku di dalam sektor ini, kami mengekalkan saranan 'underweight'," katanya. - DagangNews.com