Kos pengeluaran minyak sawit mentah KLK dijangka lebih rendah bermula 4QFY23, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Kos pengeluaran minyak sawit mentah KLK dijangka lebih rendah bermula 4QFY23, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Kuala Lumpur Kepong Berhad (KL) dijangka lebih rendah pada 4QFY23 berikutan peningkatan pengeluaranbuan tandan segar (BTS).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kos pengeluaran MSM pada 3QFY23 KLK meningkat kepada RM2,700 bagi setiap tan berbanding RM1,940 pada 3QFY22 berikutan kenaikan gaji minimum Malaysia serta harga baja selain diesel yang lebih tinggi.

 

Keadaan itu meningkatkan kos pengeluaran MSM 9MFY23 kepada RM2,400 bagi setiap tan, meningkat daripada RM2,000 satu tan pada 9MFY22.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengeluaran MSM KLK berkemungkinan memuncak pada 3QFY23 memandangkan pengeluaran BTS S4 FY23 yang lebih tinggi secara bermusim akan membawa kos pengeluaran unit lebih rendah.

 

"Melangkah ke FY24, masih terlalu awal untuk memastikan potensi kehilangan produktiviti sawit akibat El Nino.

 

"Kos pengeluaran akan terus menurun pada FY24, disebabkan harga baja yang lebih rendah (turun sebanyak 20% hingga 30% daripada harga puncaknya pada FY22)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, HLIB berkata segmen pembuatan kumpulan itu kekal mencabar dalam tempoh terdekat.

 

Katanya, segmen pembuatan mencatatkan kerugian sebanyak RM33.3 juta pada 3QFY23 dan sebahagian besar kerugian itu disebabkan oleh kos tenaga yang tinggi dan permintaan yang lemah di Eropah.

 

"Walaupun kumpulan itu melakukan penstrukturan semula bagi membendung kerugian di Eropah dan berlaku peningkatan dalam pasaran China, kami percaya penambahbaikan akan mengambil sedikit masa kerana permintaan di Eropah dijangka lemah pada suku akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM22.68 sesaham," katanya.- DagangNews.com