Kos penghasilan minyak sawit mentah diunjur rendah pada 2024 selepas mula mencatatkan penurunan pertengahan tahun ini - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kos penghasilan minyak sawit mentah diunjur rendah pada 2024 selepas mula mencatatkan penurunan pertengahan tahun ini - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Kenanga Research mengunjurkan kos penghasilan minyak sawit mentah (MSM) rendah pada 2024 selepas mula mencatatkan penurunan pada pertengahan tahun ini.

 

Katanya, selepas kos penghasilan MSM memuncak pada suku kedua tahun lalu, kos input seperti baja mula menunjukkan trend penurunan.

 

Pada tahun ini, harga baja adalah 30% lebih rendah berbanding sebelum ini (hampir 40% lebih rendah berbanding harga puncak pada suku kedua tahun lalu).

 

"Selain itu, kos tenaga juga mencatatkan penurunan berbanding setahun lalu.

 

"Pada masa yang sama, hasil buah tandan segar (BTS) bertambah baik di Malaysia, hasil daripada kehadiran semula pekerja asing selepas sempadan dibuka semula tahun lepas dan prosedur pengambilan telah ditambah baik," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berbanding tiga tanaman minyak utama (soya, biji sawi dan bunga matahari) yang disemai dan dituai setiap tahun, minyak sawit adalah pokok berbuah yang boleh hidup selama bertahun-tahun.

 

Bagaimanapun, apabila ia semakin tua, ia semakin tinggi menjadikan penuaian lebih sukar, lebih perlahan dan lebih mahal; maka amalannya ialah menanam semula setiap 25 tahun.

 

"Bagi kumpulan ladang yang bermodal besar, penanaman semula adalah sebahagian daripada kitaran penanaman tetapi tidak begitu bagi pekebun kecil yang mendapati kos penanaman semula (RM20,000 hingga RM30,000 sehektar) adalah terlalu tinggi tanpa pendapatan selepas itu selama dua hingga tiga tahun.

 

"Memandangkan syarikat kecil merangkumi kira-kira separuh daripada penanaman kelapa sawit di dunia (kira-kira 30 juta hektar), pokok-pokok yang menua dalam plot yang lebih kecil mungkin merupakan salah satu faktor di sebalik penurunan hasil minyak sawit sejak 2018," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor perladangan dan mengunjurkan harga MSM mendatar sebanyak RM3,800 bagi setiap tan pada 2024 dengan permintaan menjadi normal antara 3% hingga 4% dari tahun ke tahun. - DagangNews.com