Kos perbelanjaan MBSB dijangka terus meningkat akibat pertambahan pekerja | DagangNews Skip to main content

Kos perbelanjaan MBSB dijangka terus meningkat akibat pertambahan pekerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kenanga Research menjangkakan kos perbelanjaan operasi Malaysia Building Society Berhad (MBSB) akan terus meningkat akibat pertambahan jumlah pekerja.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kenaikan 50% kos perbelanjaan operasi pada 1QFY22 dan jumlah itu akan terus meningkat pada masa akan datang. 

 

"Pelaburan dalam bidang IT untuk produk berkaitan digital mungkin akan menyokong pertumbuhan kumpulan untuk jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih MBSB untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 menurun sebanyak 8.2% kepada RM58.2 juta daripada RM63.41 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Penurunan itu berlaku kerana perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi untuk teknologi dan perbelanjaan berkaitan kakitangan.

 

Firma itu berkata, kenaikan Kadar Pinjaman Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas akan membuatkan penguncupan kepada sasaran pendapatan bagi FY22 sebanyak 3.15% hingga 3.20% berbanding 3.24% pada FY21.

 

Buat masa sekarang, deposit kumpulan adalah terdiri daripada akaun korporat yang menyumbang sebanyak 80% hingga 85%.

 

"Kami mengurangkan unjuran pendapatan FY22E sebanyak 9% selepas mengambil kira faktor dalam landskap operasi yang lebih ketat yang mungkin membuahkan hasil pada tempoh yang lebih lama selain normalisasi dalam kualiti aset," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' untuk MBSB dengan harga sasaran (TP) RM0.52. - DagangNews.com