Kossan dijangka berdepan tekanan harga jualan sarung tangan getah bagi dua suku tahun akan datang - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kossan dijangka berdepan tekanan harga jualan sarung tangan getah bagi dua suku tahun akan datang - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kossan Rubber Industries Berhad dijangka berdepan tekanan harga jualan sarung tangan getah dalam dua suku tahun akan datang berikutan penurunan harga gas asli selain terus menghadapi cabaran lebihan bekalan di pasaran.

 

Kenanga Research berkata, kesan daripada persaingan sengit, ia memaksa pengeluar sarung tangan mengurangkan harga jualan atau berdepan risiko kehilangan pelanggan.

 

Katanya, pesanan jualan suku tahunan juga tidak menentu kerana pengedar atau pembeli tidak melihat keperluan mendesak bagi membuat pesanan yang besar atau memegang stok yang banyak kerana bekalan adalah banyak dan mudah didapati.

 

"Kami menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar kerana sektor ini terus bergelut dengan ASP yang lemah dan penggunaan kilang yang rendah akibat persaingan sengit, terutamanya daripada pengeluar China.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan situasi lebihan bekalan akan menjadi kurang meruncing dan bertambah baik berikutan pengeluar mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penutupan kilang terpilih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM40.97 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, peningkatan katara berbanding RM23.26 juta pada suku tahun lalu disebabkan oleh pengurusan kawalan kos yang lebih baik dan kos bahan mentah yang lebih rendah pada suku tersebut.

 

Hasil kumpulan bagaiamanpun merosot 28% tahun ke tahun kepada RM403.48 juta disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada semua bahagian, termasuk sarung tangan, yang 30.8% lebih rendah pada purata harga jualan dan jumlah jualan yang lebih lemah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula seimbang pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu sementara permintaan global terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

Dipercayai keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali antara enam hingga sembilan bulan.

 

"Bagaimanapun kami menjangkakan keadaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang. Kami mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA)," katanya.

 

Kenanga Research mengunjurkan keuntungan bersih RM44 juta pada FY23 (sebelum ini kerugian bersih RM76 juta) dengan andaian margin untung bersih lebih tinggi sebanyak 11% (sebelum ini 1%) disebabkan oleh harga bahan mentah dan gas asli yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

"Kami menyemak naik untung bersih FY24 kami sebanyak tiga kali ganda apabila kami menaikkan andaian margin untung bersih kepada 14% (daripada 9%)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'underperform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran RM1.34 sesaham.- DagangNews.com