KPDNHEP jawab dakwaan tidak tepat isu larangan jual arak, bengkel kereta | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP jawab dakwaan tidak tepat isu larangan jual arak, bengkel kereta

Alexander Nanta Linggi

Alexander Nanta Linggi 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tampil menjawab dakwaan kurang tepat berkaitan isu penjualan arak, rokok serta isu pengoperasian bengkel kereta dalam tempoh 'lockdown'.

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dakwaan terhadap dirinya yang tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu larangan penjualan arak dan kebenaran menjual rokok adalah tidak benar.

 

Jelasnya, pada 31 Mei 2021 beliau telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui semua media bagi menjelaskan senarai perkhidmatan perlu sektor perdagangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP yang bermula dari 1 hingga 14 Jun 2021 di seluruh negara.

 

"Di dalam kenyataan rasmi itu, senarai perkhidmatan perlu yang diberi kebenaran operasi telah dinyatakan dengan jelas, selain SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terlibat.

 

"Di dalam senarai yang diberikan, telah diterangkan bahawa kedai serbaneka/mini market dan kedai runcit dikategorikan sebagai essential dan diberikan kebenaran beroperasi. 

 

"Ini membawa maksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka ini boleh dijual kepada pengguna termasuklah arak dan rokok," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, kedai atau premis yang hanya menjual produk minuman keras bagaimanapun tidak dibenarkan beroperasi.

 

Mengulas berkaitan isu bengkel kereta, beliau memberitahu, perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60% sahaja.

 

Bagaimanapun, kebenaran tersebut tidak diberikan kepada perkhidmatan cuci kenderaan.

 

"Maka, tidak timbul isu Kementerian berdiam diri berkaitan pengoperasian bengkel kereta kerana perkara ini telah dimaklumkan.

 

"Informasi berkaitan sektor yang dibenarkan juga telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform, termasuk di laman web dan laman sosial KPDNHEP selain hebahan media," ujarnya.

 

Semalam, media tempatan melaporkan bahawa bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mendakwa Alexander tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung larangan penjualan arak dan kebenaran menjual rokok.

 

Selain itu, dakwaan berkaitan kekeliruan pengoperasian bengkel kereta turut dibangkitkan. - DagangNews.com