KPDNHEP rampas RM53.69 juta barangan kawalan bersubsidi | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP rampas RM53.69 juta barangan kawalan bersubsidi

barangan kawalan bersubsidi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura  menjadi perhatian utama bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Statistik 2016 hingga Oktober 2020 menunjukkan, sebanyak 2,212 kes dikesan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM53,691,109 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barangan kawalan bersubsidi.

Manakala bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima dari serahan agensi luar pula adalah sebanyak 671 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM10,422,814.25. 

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, harga jualan barang kawalan di Malaysia yang lebih rendah serta bekalan yang mudah diperoleh menjadi faktor utama kepada peningkatan permintaan penduduk di negara sempadan.

"Malah, kedudukan geografi seperti jarak persempadanan yang pendek antara dua negara serta wujudnya banyak lorong tikus telah menyebabkan aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi lebih mudah dilakukan. 

"Selain itu, faktor demografi penduduk dan pertalian persaudaraan antara rakyat Malaysia dan rakyat negara jiran juga turut menyukarkan isu penyelewengan ini ditangani secara holistik," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

barangan kawalan bersubsidi

 

Mengakui isu berkenaan tidak mudah untuk ditangani, beliau bagaimanapun memberitahu, Bahagian Penguat Kuasa tetap meneruskan tindakan pro-aktif dan tegas dalam membendung isu penyelewengan barang kawalan ke negara sempadan melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

 

Berikut merupakan antara langkah yang diambil Bahagian Penguat Kuasa;

  • Operasi berterusan.
  • Menjalankan jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen Malaysia,Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan lain-lain
  • agensi penguatkuasaan yang berkaitan melalui operasi bersepadu.
  • Tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.
  • Pelaksanaan “Pelan Tindakan Membanteras Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi Di Sempadan Malaysia-Thailand” yang bermula pada tahun 2019.
  • Pemantauan ke atas Arahan Pengawal Bekalan bagi Larangan Penjualan Petrol RON95 dan Diesel di Stesen Minyak Di Sempadan yang dikeluarkan pada September 2020. 

 

Tambah beliau, tindakan pengesyoran pembatalan lesen barang kawalan ke atas pemborong dan peruncit turut dijalankan untuk memberi impak secara lebih komprehensif.

Sejak tahun 2017 hingga 2019, sebanyak 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan lesen barang kawalan.

Tindakan tersebut secara tidak langsung menunjukkan 
keseriusan Bahagian Penguat Kuasa dalam menangani aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

 

Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan penalti seperti berikut;

  1. Mana-mana orang perseorangan tetapi tidak termasuk Pengarah atau Pegawai suatu Badan Korporat / Syarikat / Perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini, apabila disabitkan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang kedua, denda tidak melebihi tiga juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali.
  2. Setiap Badan Korporat/Syarikat/Perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini, apabila disabitkan kesalahannya boleh dihukum denda tidak melebihi dua juta ringgit dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM5 juta.

Beliau turut mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan barangan kawalan berjadual dan bersubsidi serta memberi amaran kepada individu atau syarikat agar tidak melanggar undang-undang.

"Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan perkara ini melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317," ujarnya lagi. - DagangNews.com