KPerak menang rayuan di COA untuk tidak membayar Simfoni Maya RM14.5 juta atas perjanjian media digital | DagangNews Skip to main content

KPerak menang rayuan di COA untuk tidak membayar Simfoni Maya RM14.5 juta atas perjanjian media digital

KUALA LUMPUR 7 Jun - Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan KPerak Implementation and Coordination Corp (kini dikenali sebagai Digital Perak) membayar Simfoni Maya Sdn Bhd RM14.5 juta untuk kerja yang dikatakan telah dilakukan oleh Simfoni Maya sebagai sebahagian perjanjian media digital antara kedua-duanya.

 

Panel tiga hakim, terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan, membenarkan rayuan KPerak dan mengarahkan Simfoni Maya membayar kos berjumlah RM60,000 pada Rabu (5 Jun), menurut laporan The Edge.

 

Perjanjian yang ditandatangani antara KPerak — sebuah agensi bukan berasaskan keuntungan kendalian kerajaan negeri Perak, yang ditubuhkan untuk membangunkan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri itu, dan Simfoni Maya, memerlukan Simfoni Maya membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliahkan, menyelenggara dan mengendalikan rangkaian media KPerak dan untuk menyediakan perkhidmatan nilai tambah yang lain.

 

 

Menurut perjanjian itu, KPerak akan membayar Simfoni Maya jumlah maksimum RM3 juta setahun untuk pendedahan masa siaran nasional di rangkaian pengiklanan Simfoni Maya pada setiap suku tahun.

 

 

simfoni

 

 

Simfoni Maya mendakwa ia melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perjanjian itu, dan seterusnya mendakwa mereka telah menyediakan masa siaran nasional kepada KPerak, dan oleh itu, KPerak berhutang kepada mereka kos masa siaran nasional tertunggak berjumlah RM14.5 juta.

 

Bagaimanapun, KPerak mendakwa kos RM14.5 juta tertakluk kepada penggunaan masa siaran nasional oleh KPerak, yang tidak berlaku.

 

KPerak berkata bahawa tidak ada kandungan media yang diluluskan atau disiarkan oleh mana-mana pihak untuk tayangan nasional.

 

Panel hakim bersetuju dengan KPerak bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo telah terkhilaf dalam membuat keputusan bahawa RM3 juta tahunan dibayar kepada Simfoni Maya.

 

Panel COA tidak bersetuju dengan pendapat pesuruhjaya kehakiman, yang memutuskan KPerak perlu membayar yuran tahunan RM3 juta kepada Simfoni Maya selama 60 bulan, seperti dalam perjanjian yang ditandatangani.

 

Panel COA juga bersetuju dengan hujah KPerak bahawa kesan penuh mesti diberikan kepada perkataan biasa yang digunakan dalam perjanjian, khususnya perkataan "maksimum" dan "guna" di bawah perjanjian.

 

Datuk Firoz Hussein, Wafiy Azman, Choo Shi Jin, Marina Tiwol dan Woo J Enn mewakili KPerak, manakala Joseph Yeo dan Arifah Abd Aziz mewakili Simfoni Maya. - DagangNews.com