KPI menteri 100 hari hanya mitos | DagangNews Skip to main content

KPI menteri 100 hari hanya mitos

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

Apakah 100 hari hanya mitos? Saya merasakan memang mitos untuk menyedapkan kedudukan menteri, mungkin ada kebenarannya untuk sebilangan menteri yang jujur untuk rakyat.

 

Sasaran aspirasi Keluarga Malaysia yang telah dimuktamadkan berdasarkan enam teras utama perlu dijelaskan secara terperinci agar rakyat memahaminya. Boleh rakyat menilai berdasarkan pencapaian pres­tasi yang didedahkan kepada umum.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan semua jemaah menteri diarah untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi ke­sejahteraan Keluarga Malaysia.

 

Setiap menteri harus mengumumkan kepada rakyat aspirasi 100 hari untuk dinilai sebelum seratus hari. Tiada lagi menteri menyatakan dan menteri yang gagal mencapai aspirasi itu wajar melepaskan jawatannya dengan segera.

 

Rasanya semua menteri akan berjaya 100 hari dengan cemerlang kerana menteri itu sendiri yang menilai.

 

Ter­dapat seramai 69 orang menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet, pendedahan pencapaian kementerian dan menteri kepada rakyat ini amat penting dan kritikal.
Saiz Kabinet cukup besar and rakyat ingin tahu apakah sasaran menteri dan adakah sasaran itu sudah dicapai selepas 100 hari.

 

Itu sebabnya penting untuk mendedahkan Kad Laporan Pencapaian Aspi­rasi Keluarga Malaysia 100 hari. Kita mahukan ketelusan dan keterbukaan sebagai asas kepimpinan negara selaras dengan era politik alaf baharu.

 

 

PM

 

 

Pendedahan prestasi 100 hari sentiasa dinanti-nanti oleh rakyat untuk membolehkan rakyat memahami sejauh mana aspirasi tercapai. Rakyat akan berasa kecewa jikalau pencapaian ini tidak didedahkan untuk pendedahan umum.

 

Tidak semestinya menteri mencapai 100 peratus indeks pretasi utama (KPI) yang ditetapkan. Rakyat mahu melihat kesungguhan menteri berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dalam kegawatan ekonomi dan pandemik.

 

Ada perkara yang sukar dicapai dalam keadaan sekarang.  Kalau pencapaian melebihi 60 peratus pun sudah memadai. Usaha mesti dipergiatkan untuk mencapai pretasi yang baik dan berkesan.

 

Rakyat mahu melihat semua menteri mencapai 100% prestasi ditetapkan. Jika menteri tidak punya kemampuan maka, Perdana Menteri seharusnya memikirkan langkah yang lebih proaktif untuk memastikan aspirasi nasional yang diilhamkan tercapai dan terbukti.

 

Jikalau tidak menteri mesti mengundurkan diri dari jawatan dan menyerahkan pada yang layak.

 

Penilaian prestasi dalam tempoh 100 hari itu perlu bersifat realistik sebab tempoh itu terlalu singkat dan terhad. Tetapi itu bukan sebab untuk gagal.

 

 

PM

 

 

Terdapat dua komponen yang terlibat iaitu menteri dan kementerian dalam penilaian.

 

Prestasi diukur berdasarkan matlamat ditetapkan dan aspek kepimpinan yang bersifat subjektif. Apabila  membabitkan pendapat awam yang bersandarkan kepada pengetahuan, sikap dan kepercayaan yang berlainan boleh timbul.

 

Tidak kira apa juga pencapaian yang ditunjukkan akan mengundang pandangan yang berbeza, bertentangan sebab dipengaruhi ideologi politik.

 

Apabila kad laporan didedahkan mesti ada yang memuji dan ada yang akan mengkritik untuk ahli politik yang menjadi menteri.

 

Sesungguhnya tiada ada yang ajaib mengenai 100 hari. Rancangan tindakan semestinya ada dibuat sekurang-kurangnya 100 hari sebelum mengangkat sumpah tetapi sudah terlambat.

 

100 hari berdasarkan pada sejarah dan dapat dikesan kembali ketika Napoleon Bonaparte (Mac-Julai 1815) membawa perubahan dan memberi kesan yang menggegarkan seluruh Eropah.

 

Napoleon telah melarikan diri dari pengasingannya, mengumpul Tentera Perancis dan mengusir Raja Perancis Louis XVIII keluar, dan membawa pembaharuan peringkat mega di Parlimen, dasar dalam dan luar negeri dan mengubah Perancis secara drastik.

 

 

napoleon
Napoleon Bonaparte

 

 

Sejak itu, retrospektif 100 hari telah digunakan untuk menilai pemimpin baru dalam 100 hari pertama tempoh perkhidmatan mereka.

 

100 hari Ismail Sabri Yaakob belum mendapat banyak semangat dari rakyat yang sudah tidak berpuas hati dan kurang yakin. Apalagi memandangkan hakikatnya bukan sepenuhnya kepimpinan baru.

 

Menteri adalah rombakan dari menteri yang sama, penjawat awam yang sama bekerja. Kesinambungan semuanya tidak menetapkan keperluan untuk gembar-gembur 100 hari lagi.

 

Sejak perdana menteri memberi mandat selama 100 hari, menteri akan berhati-hati untuk menyedari mereka sedang berkhidmat dalam waktu dipinjam. Kad laporan pencapaian tidak dapat dihasilkan oleh menteri sendiri. Tidak semestinya disampaikan dengan bahasa kitaran semula yang sama untuk rakyat.

 

Dalam pandemik COVID-19 sekarang, rakyat telah menghadapi ujian yang paling hebat.

 

Pilihan raya di Melaka akan diadakan dalam masa 60 hari kerana empat ADUN menarik diri menyokong Barisan Nasional-Perikatan Nasional.

 

Bagaimana ini sejajar dengan pendekatan untuk normal seperti biasa? Ahli politik telah membahayakan kesihatan seperti di Sabah dan kehidupan orang-orang dengan berkempen untuk pilihanraya.

 

Hospital yang sudah keletihan mesti memerhatikan ketidakadilan ini dan bersiap sedia untuk satu lagi gelombang pesakit COVID-19.

 

 

fudzail

 

 

Tahun 2018 mengajar untuk menunaikan janji-janji  dalam 100 hari pertama adalah mengenai perubahan demi perubahan.

 

Perdana menteri juga telah membuat perbezaan dengan berjanji selama 100 hari. Penanda aras 100 hari jarang berlaku berkorelasi dengan kejayaan atau kegagalan semasa perdana menteri memegang jawatan. Semuanya bermula secara berbeza dan berakhir dengan nota yang berbeza pada akhir tugas.

 

Pada tahun 1983, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji 100 hari pertama untuk memerangi rasuah dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

 

Yang akhirnya berlaku ialah Mahathir menjadikan Malaysia dari bergantung kepada ekonomi pertanian menjadi negara kaya sebagai harimau Asia berteknologi tinggi.

 

 

fudzail

 

 

Berlari laju ke garisan penamat 100 hari menjadi lebih bermasalah apabila ahli politik bertindak seolah-olah benar-benar penting. 100 hari tidak penting untuk keadaan sekarang yang tinggal setahun untuk PRU15.

 

Sekarang ini rakyat tidak mementingkan  berkempen, peluang bergambar atau iklan ahli politik dengan bergaya.

 

Tidak perlu ada pengumuman mengenai hari ke-100. Apabila perubahan berlaku, kita akan tahu untuk apa perubahan bernilai dan menjadi intrinsik.

 

Kita akan tahu siapa menteri yang benar-benar bekerja untuk rakyat atau untuk diri sendiri.

 

Mungkin perdana menteri lebih tahu. Maka 100 hari hanya mitos dengan semua menteri berjaya mencapai sasaran!

 

 

 

DISCLAIMER : Tulisan ini adalah pendapat penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com