KUALA LUMPUR 20 Feb - KPJ Healthcare Bhd akan memberi fokus sepenuhnya kepada pasaran penjagaan kesihatan di Malaysia khususnya dalam pelancongan kesihatan dan hanya 1% tumpuan diberikan kepada perniagaan antarabangsa.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, tumpuan kepada pasaran Malaysia dilihat lebih memberi manfaat kepada kumpulan itu berbanding pasaran antarabangsa kerana mereka memiliki lebih 29 hospital di seluruh negara.
Katanya, selepas pandemik COVID-19, terdapat banyak peluang yang terhidang tetapi perlu menjadi lebih kompetitf dalam pasaran terutama selepas banyak syarikat penjagaan kesihatan bergabung dan KPJ perlu memberi tumpuan khusus dalam mengoptimumkan penggunaan asetnya.
Beliau berkata, KPJ memiliki kelebihan berbanding hospital lain kerana memiliki capaian hospital yang lebih luas di seluruh negara.
"Apa yang boleh saya katakan ialah, fokus kami adalah antara 95% hingga 99% kepada pasaran Malaysia dan hanya baki 1% untuk pasaran antarabangsa.
"Buat masa sekarang KPJ sudah keluar daripada pasaran Indonesia sejak September 2023, kami juga sedang mencari pembeli untuk melepaskan 10% pegangan di Jeta Gardens, Australia dan kami menjangkakan dalam tempoh 24 bulan kami akan meninggalkan negara itu.
"Kami hampir pasti akan meninggalkan pasaran Dhaka, Bangladesh (Sheikh Fazilatunnessa Mujib Memorial KPJ Specialized Hospital & Nursing College) dan ia akan diumumkan kepada Bursa Malaysia, tidak lama lagi.
"Kini hanya perniagaan di Thailand iaitu Hospital Vejthani di Bangkok, Thailand akan dikekalkan kerana di hospital itu kami hanya melakukan pelaburan dan mendapat dividen setiap tahun," katanya dalam sesi penerangan media, di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KPJ Healthcare catat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM73.39 juta pada Q4
Sepanjang tahun kewangan penuh, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM263.41 juta daripada RM166.98 juta pada FY23 manakala hasil melonjak kepada RM3.42 bilion daripada RM2.87 bilion pada tahun sebelumnya.
Hasil yang lebih tinggi pada 2023 disebabkan oleh peningkatan 4% tahun ke tahun dalam lawatan pesakit kepada 857,537, disokong oleh bilangan katil yang lebih tinggi.
Mengulas mengenai tempoh tunggu hasil yang lama bagi sesetengah hospital KPJ, Keat Chyuan berkata, ia berpunca daripada penularan COVID-19 sebelum ini membuatkan mereka sukar untuk menjana hasil dengan lebih pantas kerana kesemua pesakita COVID-19 adalah di bawah penjagaan hospital kerajaan.
Beliau berkata, kesan daripada penularan wabak itu juga menyebabkan kadar pemintaan untuk pembedahan dan kadar penggunaan katil menjadi sangat rendah.
"Kebiasaannya sesebuah hospital akan mula menhuat keuntungan dalam tempoh tiga ke empat tahun tetapi nasib tidak baik untuk Hospital Pakar KPJ Dato Onn, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Perlis dibuka semasa penularan COVID-19.
"Sebagai contoh Hospital Pakar Damansara 2, ia dibuka pada hujung 2022, kami yakin bahawa hospital itu akan mulan mencipta keuntungan bermula 2025 dan pada tahun ini kerugian mereka akan berkurangan sebanyak 50%," katanya. - DagangNews.com