KPJ Healthcare kurang berminat dengan cadangan skim insurans kesihatan nasional - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare kurang berminat dengan cadangan skim insurans kesihatan nasional - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan bahawa KPJ Healthcare Berhad beberapa risiko yang akan menjejaskan prospek mereka termasuk kurang berminat untuk terlibat dengan skim insurans kesihatan nasional.

 

Sebelum ini kerajaan merancang untuk membangunkan skim insurans kesihatan nasional dan sekiranya diluluskan ia akan memberi tumpuan kepada melaksanakan kerja asas yang diperlukan termasuk pengiraan kadar caruman yang sesuai.

 

Selain itu, kumpulan itu juga berdepan risiko lain termasuk risiko peraturan ketika menjalankan operasi harian.

 

"Antara cabaran lain yang akan dihadapi termasuk tempoh yang lebih lama diperlukan untuk mendapatkan pulangan daripada pembukaan hospital baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, peningkatan pesakit dan kadar penghunian katil membantu meningkatkan keuntungan bersih KPJ Healthcare sebanyak 73.35% kepada RM46.95 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM27.08 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Lawatan pesakit dalam meningkat kepada 82,479 pesakit daripada 72,424 pesakit pada 2QFY22, manakala kadar penghunian katil meningkat kepada 63% daripada 56%.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan meningkat 17% kepada RM185.1 juta daripada RM158.4 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 48% kepada RM68.5 juta daripada RM46.2 juta.

 

Sementara itu, hasil kumpulan meningkat 14.32% kepada RM799.51 juta, daripada RM699.34 juta pada 2QFY22.

 

Firma penyelidikan mengunjurkan daya pengeluaran pesakit KPJ berkembang 14% (berbanding 12% pada FY22) dan kadar penghunian katil sebanyak 70% (berbanding 58% pada FY22) apabila permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta meneruskan semula laluan pertumbuhannya selepas wabak itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com