KPJ Ipoh labur RM17 juta tambah baik kelengkapan untuk rawatan pesakit  | DagangNews Skip to main content

KPJ Ipoh labur RM17 juta tambah baik kelengkapan untuk rawatan pesakit 

Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 22 Feb - KPJ Ipoh Specialist Hospital (KPJ Ipoh) membuat pelaburan sebanyak RM17 juta bagi menambah baik perkhidmatan dan rawatannya kepada pesakit.

 

Ia membabitkan penggantian mesin radioterapi dan mesin simulasi tomografi berkomputer (CT simulator) baharu berjumlah RM17 juta yang dibuat Oktober lalu serta kemudahan cathlab (makmal kardiologi) dengan kos RM3.4 juta.

 

Dengan adanya kelengkapan yang lebih baik membolehkan teknologi rawatan moden serta terperinci disediakan kepada pesakit.

 

 

zaki salleh
Mesin linear accelerator berharga RM14.5 juta antara kelengkapan rawatan baharu yang diperoleh KPJ Ipoh.

 

 

Ini memandangkan KPJ Ipoh turut menerima pesakit untuk membuat rawatan radioterapi dan kardiologi yang dirujuk daripada hospital kerajaan. 

 

Ia melibatkan kerjasama dengan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Seri Manjung (HSM) dan Hospital Slim River (HSR).

 

 

zaki salleh
Yusmah Salleh

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Yusmah Salleh berkata, kerjasama awam - swasta ini juga dapat mengurangkan beban petugas di hospital kerajaan serta tempoh rawatan pesakit.

 

"Pada 2021, kita telah merawat sejumlah 821 pesakit yang mana seramai 781 pesakit dirujuk oleh HPRB untuk pelbagai jenis rawatan termasuklah kes kardiologi, mammogram dan rawatan kanser, manakala 40 pesakit dari HSM untuk prosedur penanaman tapak fistula untuk rawatan dialisis.

 

"Untuk 2022, pula kita menerima 217 pesakit dari HPRB, 16 dari HSR manakala 37 dari HSM. Untuk rekod, sejumlah 85 pesakit telah dirujuk oleh ketiga-tiga hospital ini untuk kes kardiologi.

 

"Kumpulan pesakit ini terdiri daripada penjawat awam atau pesakit yang dibiayai oleh hospital kerajaan," ujarnya kepada Dagang News.

 

 

zaki salleh
KPJ Ipoh mempunyai 122 doktor termasuk 61 doktor residen pelbagai bidang rawatan.

 

 

KPJ Ipoh atau dahulunya dikenali sebagai Ipoh Specialist Centre telah beroperasi sejak 1981 dan kini antara hospital swasta utama di negeri Perak.

 

Ia mempunyai kapasiti 267 buah katil yang didaftarkan dengan kira-kira 122 doktor termasuk 61 doktor residen meliputi pelbagai bidang rawatan.

 

Menurut Yusmah, sepanjang tahun lalu KPJ Ipoh telah menerima 245,287 orang pesakit luar manakala 29,904 yang dirawat di dalam hospital.

 

Katanya, angka itu bertambah berbanding tahun sebelumnya iaitu 217,625 (pesakit luar) dan 18,432 (pesakit dirawat).

 

Beliau berkata, situasi pandemik yang melanda negara dua tahun lalu turut memberi kesan pada operasi KPJ Ipoh apabila jumlah yang menerima rawatan menurun disebabkan faktor prosedur pandemik.

 

"Sebagai contoh, jumlah pesakit kanak-kanak kecil kerana Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan kanak-kanak hanya tinggal di rumah.

 

"Umpamanya, pesakit yang sewajarnya menerima rawatan sebagai pesakit dalam enggan dimasukkan ke wad kerana kekangan ahli keluarga untuk bermalam menemani pesakit dan pelawat keluar masuk ke wad juga dihadkan atas faktor prosedur pandemik yang amat menitikberatkan punca jangkitan kepada pesakit dan juga sebaliknya," ujarnya.

 

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan prestasi yang dicatatkan KPJ Ipoh bertambah baik tahun ini memandangkan situasi pandemik yang sedang pulih. - DagangNews.com