KPM tidak pernah keluar senarai larangan tindakan disiplin terhadap murid | DagangNews Skip to main content

KPM tidak pernah keluar senarai larangan tindakan disiplin terhadap murid

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan mereka mengeluarkan senarai tindakan disiplin yang tidak boleh dikenakan kepada murid sekolah.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang' dalam mana-mana dokumen rasmi kementerian.

 

"Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan.

 

"Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya," katanya menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, hari ini.

 

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan portal berita bertajuk "Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid" yang menerangkan mengenai bentuk hukuman yang dilarang dilakukan terhadap fizikal, mental dan emosi pelajar.

 

Bagi hukuman terhadap fizikal, antara yang disenaraikan ialah berdiri lama di tengah panas, lari keliling padang, berdiri lama di dalam atau luar bilik darjah, berdiri di atas kerusi atau meja, menarik rambut atau telinga, belasah dengan alat seperti tali pinggang atau pembaris serta cubit, ketuk ketampi dan junjung kerusi atau buku.

 

Bagi hukuman terhadap mental dan emosi, turut disenaraikan ialah menggunting rambut, berleter, gantung tulisan di badan, memalukan di khalayak, memaki hamun, kelas tahanan pada waktu rehat dan tidak menghiraukan murid.

 

Sementara itu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan disiplin hanya boleh dikenakan mengikut tatacara pengurusan disiplin dikeluarkan pihaknya.

 

"Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah.

 

"Selain itu adalah SPI Bil 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan SPI Bil 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

 

"Sehubungan itu, KPM menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan," katanya.-Dagangnews.com