KPower dapat kontrak loji jana tenaga RM296 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

KPower dapat kontrak loji jana tenaga RM296 juta di Perak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kumpulan Powernet Berhad (KPower) menerusi anak syarikatnya, KPower Engineering Sdn. Bhd. (KPEng) meraih sebuah kontrak loji jana tenaga hidro di Perak bernilai RM296 juta.

 

Kontrak itu ditawarkan oleh Kangsar Hidro Sdn. Bhd. (Kangsar Hidro) yang merupakan sebuah entiti usaha sama antara Yayasan Perak dan Kangsar Capital Sdn. Bhd. – diwujudkan untuk melaksanakan projek tersebut.

 

Menerusi perkembangan itu, KPEng bakal melaksanakan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, komisen dan siap (EPCC) loji jana tenaga mini dengan jumlah kapasiti 27.3 MW di Sungai Singor.

 

Pihak-pihak yang terlibat akan memasuki sebuah perjanjian dalam tempoh 60 hari perniagaan dari tarikh penerimaan kontrak itu.

 

Tarikh jangkaan projek berkenaan selesai antara tempoh 48 bulan daripada tarikh mula 24 Disember 2024 atau lebih awal.

 

Pengerusi Kumpulan KPower, Datuk Dr. Ir. Ts. Abdul Karim Abdullah berkata, kontrak itu menandakan usaha bersepadu syarikat ke arah pemerolehan projek berterusan untuk mencapai sasaran RM2 bilion buku tempahan menjelang akhir tahun kewangan semasa.

 

Abdul Karim Abdullah
Abdul Karim Abdullah

 

"Menerusi sasaran ASEAN 35% kapasiti tenaga daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 dan juga kemunculan serantau kami yang sedia ada, kami dalam kedudukan baik untuk memacu pertumbuhan kumpulan syarikat,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Skop kerja di bawah pelantikan itu merangkumi kajian awal, kejuruteraan, pembinaan, penyeliaan, pengujian, komisen, ujian kebolehpercayaan, pemulihan kecacatan semasa tempoh tanggungan dan penyediaan semua peralatan, kedua-dua pekerjaan tetap dan kerja sementara yang berkaitan dengan projek itu.

 

KPower merancang untuk memperluas perniagaannya dalam sektor tenaga sehingga ke ASEAN dan Asia Selatan.

 

Kumpulan syarikat itu juga berhasrat untuk membangunkan keupayaannya dalam spektrum tenaga boleh diperbaharui lain seperti projek solar berskala besar dan memperluas penawaran produk termasuk projek tenaga solar disasarkan ke pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Pusat.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Kpower, Mustakim Mat Nun berkata, Malaysia akan menjadi tunjang kepada syarikat itu.

 

Mustakim Mat Nun
Abdul Karim Abdullah

 

“Projek ini akan lebih memperkukuh kedudukan dan platform ketika kami meneroka peluang-peluang lain.

 

“Walaupun hidro kekal sebagai kekuatan kami, namun kami secara aktif menembusi produk dan pasaran lain,” tambahnya dalam kenyataan sama.

 

Setakat ini, kumpulan syarikat itu mempunyai RM1.2 bilion buku tempahan di Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal.

 

Dalam masa sama, KPower turut mengunjurkan tambahan RM2 bilion buku tempahan menjelang tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2021.  – DagangNews.com