KPPK adakan sesi pendengaran dengan EU mengenai minyak sawit, buruh paksa | DagangNews Skip to main content

KPPK adakan sesi pendengaran dengan EU mengenai minyak sawit, buruh paksa

KUALA LUMPUR 22 April - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengadakan sesi pendengaran dengan Kesatuan Eropah (EU) bulan hadapan bagi menjelaskan tuduhan tidak berasas terhadap minyak sawit termasuk penggunaan buruh paksa.

 

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sesi itu akan diadakan selama 10 hari bermula 8 sehingga 18 Mei 2022

 

"Dalam sesi ini akan membolehkan kita menjawab tuduhan yang mereka buat dan juga untuk memberikan penjelasan kepada mereka mengenai terma-terma yang mereka tafsirkan berlainan dengan kita.

 

"Jadi bila ada libat urus ini, kita boleh memberikan mereka kefahaman kerana mungkin terma itu ada perbezaan dan ini akan mengurangkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas (kepada minyak sawit)," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Mengulas lanjut Zuraida berkata, pihaknya juga sedang cuba mengaturkan pertemuan dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan sama.

 

"Kami sedang menanti tarikh untuk bertemu dengan CBP USA. Sepatutnya tarikhnya kami minta dalam bulan Ramadan ini tetapi tidak terima lagi.

 

"Jadi dua perkara yang kami hampir selesaikan dalam masa enam bulan pertama tahun ini adalah bertemu dengan AS dan EU," katanya.

 

Sementara itu Zuraida turut menafikan tuduhan dibuat CBP mengatakan Sime Darby Plantation (SDP) menggunakan buruh paksa sehingga menyebabkan syarikat konfeksionari utama Itali, Ferrero bercadang menghentikan pembelian sumber minyak sawit.

 

"Itu (tuduhan) bukan Ferrero yang buat, sebaliknya CBP. SDP memang tidak ada membekalkan minyak berunsurkan sawit ini kepada Ferrero dan mereka juga sudah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini," katanya.

 

SDP dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata Ferrero, yang dilaporkan merancang untuk menghentikan sumber minyak sawit daripadanya, adalah bukan pelanggannya dan sudah lama tidak menjadi pelanggan mereka.

 

Bagaimanapun, SDP mengesahkan bahawa pelanggan langsungnya, Cargill telah memutuskan untuk menggantung pembelian semua sumber baharu minyak sawit dan produk terbitan daripadanya, berkuat kuasa 25 Februari 2022. - DagangNews.com