PERKEMBANGAN teknologi yang semakin pesat pada masa kini memungkinkan hampir semua orang menjadi penyedia kandungan dan penyalur maklumat.
Sama ada menerusi laman-laman portal, Facebook, Twitter, Instagram mahupun YouTube, orang ramai seakan berlumba-lumba untuk menjadi penyedia dan penyumbang kandungan meliputi pelbagai segmen.
Tidak terkecuali dalam ‘perlumbaan’ tersebut adalah pemain industri media penyiaran di negara ini sama ada saluran televisyen mahupun radio yang turut bergelut untuk menarik penonton dan pendengar agar terus setia bersama saluran mereka.
Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Bernama Radio, Azlan Idris yang berkata, saluran radio berita yang dimiliki Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu juga terkena tempias gara-gara kesan daripada kemunculan pelbagai saluran penyedia kandungan yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimanapun menurut Azlan, Bernama Radio yang ditubuhkan sejak 3 September 2007 itu mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dengan mempertaruhkan kredibiliti sebagai tunjang penyediaan kandungan mereka.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa dalam konteks industri penyiaran radio di negara kita pada masa kini, kaedah untuk mencari atau mendapatkan pendengar adalah bergantung kepada kandungan yang disediakan, selain minat orang ramai terhadap radio.
“Sekiranya mereka masih memilih radio sebagai antara saluran bagi mendapatkan maklumat, sudah pasti industri radio akan terus bertahan”.
“Namun, ia masih bergantung kepada kandungan yang disediakan dan itulah yang menjadi kekuatan kami kerana terus mengekalkan kredibiliti sebagai penyedia kandungan yang tepat, benar dan sahih sejak ditubuhkan 15 tahun lalu,” jelasnya dalam satu wawancara bersama DagangNews.com yang diadakan di Wisma Bernama, di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Azlan lagi, sebagai sebuah stesen radio berkonsepkan berita, Bernama Radio tidak akan mengikut jejak langkah stesen radio komersial yang menjadikan hiburan sebagai kandungan untuk meraih populariti atau rating yang tinggi.
Sebaliknya beliau menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan polisi dan model operasi sedia ada dengan memberikan nilai tambah terhadap konsep penyampaian berita dan maklumat sebagai kandungan utama.
Tambah beliau, dalam membina sebuah negara bangsa yang cemerlang di masa hadapan, kandungan siaran yang didengar atau ditonton oleh masyarakat memainkan peranan utama dalam membentuk pemikiran yang progresif.
“ Disinilah peranan BERNAMA Radio biar pun kajian pendengar yang dijalankan menunjukkan jumlah pendengar mingguan Bernama Radio hanya sekitar 150,000 orang tanpa mengambil kira pendengar di Sabah dan Sarawak.
“Ia mungkin jauh lebih rendah berbanding stesen radio komersial yang mencapai lebih dua juta pendengar seminggu.
“Bagaimanapun, kami berada di kedudukan kesepuluh dalam konteks jumlah pendengar yang mendengar paling lama untuk satu-satu segmen, sekaligus mengatasi sebahagian besar stesen radio komersial.
“Bagi kami, ia satu indikator yang bagus dan menandakan kami harus terus berjuang dalam menyediakan kandungan yang berilmu.
“Kami sesekali tidak akan mengubah kandungan sedia ada semata-mata untuk mendapatkan rating sebagaimana sasaran stesen komersial lain,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan Bernama Radio untuk kekal relevan dalam berdepan perkembangan pesat teknologi, Azlan berkata stesen radio itu bakal mempunyai sebuah konti bergerak tidak lama lagi.
Katanya, konti berupa sebuah campervan yang bernilai lebih RM1 juta itu juga akan berfungsi sebagai studio bergerak yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan siaran langsung terutama temu bual.
Tambahnya, dengan adanya campervan tersebut, Bernama Radio menjadi antara stesen radio terawal di negara ini yang mempunyai kemudahan seumpamanya.
“Campervan ini membolehkan Bernama Radio menemu bual tetamu di lokasi berdasarkan piawaian penyiaran sebenar.
“Tetamu tidak lagi perlu hadir ke studio sebaliknya kandungan boleh diterbitkan di mana-mana lokasi. Kandungan yang disediakan juga boleh disiarkan di BERNAMA TV.
“ Ia sekaligus memberi nilai tambah seterusnya memperkasakan jenama BERNAMA sebagai penyedia kandungan berita dan maklumat terunggul di Malaysia,” katanya. – DagangNews.com