Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Sebanyak 46 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 4 Oktober lalu telah pulih sepenuhnya setakat pukul 6 pagi tadi.
Ketua Pegawai Komunikasi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Elina Baseri berkata, berdasarkan jumlah tersebut, peratus pemulihan kini adalah pada tahap 17%.
"Sebanyak 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah yang terjejas iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya.
"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan agi memulihkan kawasan-kawasan yang masih terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 4 Oktober lalu, Air Selangor melaporkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.
Perkara tersebut disebabkan oleh pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih dan disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.
Susulan itu, sebanyak 274 kawasan yang melibatkan seramai 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Tambah Elina, berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah, Kuala Langat mencatatkan peratusan pemulihan tertinggi iaitu 55%, diikuti dengan wilayah Petaling sebanyak 37%.
Namun, dua wilayah lain iaitu Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya masing-masing masih berada pada tahap 0%.
"Pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor," jelasnya lagi. - DagangNews.com