Krisis hutang Evergrande kurangkan 'selera' pelabur terhadap saham hartanah tempatan | DagangNews Skip to main content

Krisis hutang Evergrande kurangkan 'selera' pelabur terhadap saham hartanah tempatan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kejatuhan harga saham firma gergasi hartanah China, Evergrande Group dilihat tidak menjejaskan bursa tempatan dengan ketara, jelas AmInvestment Bank Research. 

 

Pada Isnin, harga sahamnya susut 10% kepada HK$2.28, yang merupakan paras terendah dalam tempoh lebih 11 tahun. Setakat ini, harga sahamnya merudum sehingga 85% daripada paras HK$14.90 sejak awal 2021.

 

"Kami memahami kelemahan harga sahamnya disebabkan kebimbangan yang syarikat mungkin tidak mempunyai tunai mencukupi bagi memenuhi tuntutan bayaran jangka pendek kepada peminjam," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Setakat 30 Jun 2021, Evergrande mempunyai hutang jangka pendek sebanyak RMB240 bilion dan hutang jangka panjang sebanyak RMB332 bilion. 

 

Dengan tunai berjumlah RMB87 bilion (tidak termasuk tunai terhad), syarikat mempunyai kedudukan hutang bersih berjumlah RMB485 bilion. 

 

Menurut AmInvestment, potensi risiko penularan terhadap pasaran ekuiti Asia pada masa ini adalah terhad melainkan jika kerajaan China membenarkan Evergrande mungkir dan tidak melakukan apa-apa untuk mengawal keadaan.

 

"Ini adalah senario yang tidak mungkin berlaku kerana kami percaya Beijing akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini kerana adalah perlu untuk memberi kestabilan kepada rakyat," tambahnya.

 

Dari segi impak secara langsung pasaran hartanah China ke atas saham di bawah liputan AmInvestment pula, hanya terdapat 2 sahaja syarikat yang mempunyai projek di negara tersebut, iaitu IOI Properties Group, yang memiliki projek pembangunan di Xiamen dan Sunway Group, pembangunan di Tianjin. 

 

"Berdasarkan semakan kami, tidak ada projek yang sedang berjalan itu membabitkan Evergrande. Baki nilai pembangunan kasar (GDV) IOI Properties dan Sunway di China juga tidak begitu signifikan dengan masing-masing hanya 3% dan 1% daripada jumlah portfolio kumpulan," katanya. 

 

Mengenai gearan bersih pula, jelasnya, kesemua 6 syarikat di bawah liputannya masih kekal terurus di bawah paras 60%. 

 

"Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat, jualan hartanah di China mungkin terjejas disebabkan sentimen pembeli yang lemah," tambah firma itu.  

 

Namun, firma itu mendapati, krisis hutang Evergrande turut memberi tempias terutamanya kepada sentimen pelabur membabitkan saham hartanah tempatan. 

 

Setakat 20 September, indeks hartanah Bursa Malaysia susut 2.5% berbanding 15.5% dalam indeks hartanah HSI dan indeks hartanah Shanghai, 7.8%. 

 

Pada masa sama, AmInvestment juga tidak menjangkakan sebarang impak terhadap sektor perbankan tempatan memandangkan China bukan pasaran utama bagi bank serantau. 

 

Tambahan pula, katanya, bank-bank di Malaysia tertumpu kepada pasaran di Singapura, Indonesia dan Thailand.

 

Dalam pada itu, firma tersebut mengurangkan unjuran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,643 mata berbanding 1,695 mata. 

 

Ia juga mengurangkan unjuran pendapatan 2021 kepada 54.6% berbanding 55.5% sebelum itu.

 

"Pertumbuhan yang lemah ini disebabkan pengurangan pertumbuhan pendapatan dari Top Glove Corp. Bhd. yang merupakan antara komponen utama FBM KLCI," katanya.

 

AmInvestment bagaimanapun mengekalkan saham Maybank, Tenaga Nasional, CIMB Group, Telekom Malaysia, RHB Bank dan Westports sebagai pilihan utama dan turut menambah saham Sime Darby Plantation, Dialog, Sunway dan Media Prima dalam senarai utamanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu masih mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini antara 3 hingga 3.5% - DagangNews.com