Krisis Rusia-Ukraine cetus kenaikan harga, ayam mungkin lebih mahal | DagangNews Skip to main content

Krisis Rusia-Ukraine cetus kenaikan harga, ayam mungkin lebih mahal

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Mac - Krisis Rusia-Ukraine akan terus menambah tekanan kepada pasaran global yang kini menyaksikan harga komoditi termasuk minyak sayuran mencecah paras tertinggi. 

 

Ini disebabkan kekurangan tanaman kacang soya di Amerika Selatan, pengurangan bekalan minyak sawit akibat masalah penuaian di Malaysia, dan peningkatan mendadak penggunaan minyak sawit dan kacang soya untuk pengeluaran biodiesel. 

 

Malah, ia turut menyaksikan harga input intensif tenaga utama seperti bahan api, baja dan racun perosak juga merekodkan paras yang tinggi.

 

Sehubungan itu, AmInvestment Bank Research menjangkakan kenaikan inflasi makanan runcit terutamanya harga ayam akan menjadi lebih mahal disebabkan harga makanannya iaitu jagung, kacang soya dan minyak sawit yang merupakan bahan utamanya adalah lebih tinggi.

 

Menurutnya, pencerobohan Rusia akan terus memberi tekanan kepada pasaran global dan membawa impak negatif kepada bekalan gandum global dalam tempoh jangka pendek.

 

Gangguan dalam pasaran gas asli dan baja akan membawa kepada kesan buruk kepada pengeluar, terutama mereka yang memasuki musim penanaman baharu, dan ini akan menaikkan inflasi harga makanan yang sudah tinggi dengan kesan yang lebih serius.

 

"Terdapat risiko penternak ayam akan terus tertekan dan berdepan kerugian di sebalik pemberian subsidi ketika ini berjumlah lebih daripada RM500 juta, berdasarkan kepada kos operasi sebelum ini.

 

"Jika dibiarkan, banyak penternak ayam akan muflis atau beralih kepada perniagaan lain yang lebih berdaya maju, membawa kepada potensi krisis kekurangan bekalan ayam dan kenaikan harga," jelasnya dalam laporan tematiknya hari ini.

 

Ukraine dan Rusia bukan sahaja pembekal utama gandum, jagung dan barli, tetapi mereka juga menghantar lebih daripada 75% eksport minyak bunga matahari global, antara 4 minyak boleh dimakan terkemuka di dunia.

 

Ini menjadikan masalah kekangan bekalan global semakin ketat dan menyebabkan harga minyak sawit dan kacang soya, yang paling banyak digunakan terus melonjak tinggi.

 

Namun, AmInvestment berkata, dengan harga pertanian melambung tinggi, terdapat risiko  sesetengah negara mungkin melindungi pengeluar domestik dengan menyekat eksport.

 

Menurutnya, pada masa sama, risiko daripada kesan tidak langsung daripada peningkatan harga runcit makanan lain juga adalah tinggi. 

 

Ini kerana, katanya, kenaikan harga minyak akan mempengaruhi kos logistik manakala gangguan rantaian bekalan akan menjejaskan beberapa bahan mentah dan kos operasi.

 

"Kemungkinan pengilang dan pemborong akan menaikkan harga jualan mereka. Ketika ini, kebanyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sudah pun bergelut dengan pandemik COVID-19, dan krisis terbaharu ini hanya menambah lagi 'sakit' yang mereka tanggung selama ini.

 

"Dengan melepaskan kos kepada peruncit, ia akan menjejaskan pengguna terutama kepada golongan B40 dan M40 yang masih terumbang-ambing akibat wabak tersebut," katanya.

 

Bagi 2022, AmInvestment berkata, unjuran inflasi utama sekitar 2.6% dijangka mencecah 2.8% dengan kenaikan sehingga 3% (berbanding sebelum ini 2.8%). 

 

"Tetapi, inflasi utama ini boleh melepasi paras 3% dan mungkin lebih tinggi sekiranya konflik Rusia-Ukraine semakin memuncak, hingga tercetusnya perang nuklear dan membawa kepada lebih banyak risiko geopolitik di beberapa negara rantau ini.

 

"Di bawah senario ini, kenaikan inflasi akan mencecah 2 digit atau mungkin lebih tinggi lagi," jelasnya. - DagangNews.com