Krisis Rusia-Ukraine jangka tingkat harga minyak sawit namun tidak jejas eksport Malaysia | DagangNews Skip to main content

Krisis Rusia-Ukraine jangka tingkat harga minyak sawit namun tidak jejas eksport Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - MIDF Research menjangkakan berlaku peningkatan harga bekalan minyak yang boleh dimakan berikutan kebimbangan terhadap bekalan akibat krisis Rusia-Ukraine namun tidak akan menjejaskan segmen eksport minyak sawit Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu menyedari bahawa Ukraine dan Rusia merupakan pembekal minyak bunga matahari dan merupakan pembekal kedua minyak makan kedua paling banyak diimport dari India selepas minyak sawit,

 

Katanya, gangguan bekalan minyak bunga matahari akan membantu meningkatkan permintaan terhadap bekalan minyak sawit dari India yang juga pelanggan terbesar Malaysia.

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan permintaan daripada negara lain akibat gangguan bekalan minyak bunga matahari.

 

"Bagi segmen eksport, kami melihat krisis Rusia-Ukraine tidak akan memberi kesan negatif yang besar kepada minyak sawit Malaysia dan akan terus memenuhi permintaan eksport daripada India dan China.

 

"Rusia dan Ukraine hanya menyumbang masing-masing 0.1% dan 0.3% terhadap eksport minyak sawit Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

sawit

 

Firma penyelidikan itu menyedari bahawa harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat secara agresif pada awal Februari dan kini harganya mencecah RM8,000 bagi satu tan metrik, menjadikannya harga tertinggi sepanjang masa akibat kekurangan bekalan.

 

Firma itu percaya, ia berpunca daripada beberapa faktor termasuk perkembangan penghasilan yang perlahan, kekurangan penuai mahir, fenomena La Nina, peningkatan permintaan akibat aktiviti ekonomi yang semakin baik selain kekurangan bekalan minyak kacang soya akibat kemarau di Amerika Selatan.

 

"Indonesia membuat peraturan baharu dengan memastikan sebahagian minyak sawit mereka harus dijual kepada pasaran tempatan dan pengeksport perlu memasukkan kuota 20% bekalan daripada pembekal tempatan selain peningkatan harga minyak makan akibat krisis Rusia-Ukraine," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perladangan dengan dan menyemak semula sasaran harga MSM sebanyak 30.3% kepada RM4,300 bagi satu tan metrik berbanding RM3,300 sebelum ini.

 

"Walaupun berpandangan positif terhadap sektpr itu, kami menjangkakan harga MSM akan kembali stabil pada 2HCY22 tetapi sangat perlahan, kami juga percaya harga MSM akan meningkat sepanjang CY22 akibat bekalan yang kurang daripada industri perladangan tempatan," katanya. - DagangNews.com